PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna memaklumkan harga cili termasuk cili merah kulai, cili merah minyak dan cili akar di pasaran mula menunjukkan penurunan.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kementerian mendapati, harga purata cili merah Kulai kini menurun kepada RM19 sekilogram iaitu penurunan 17 peratus berbanding RM23 sekilogram pada Disember lalu.
Beliau berkata, kementerian mengingatkan pemborong dan peruncit cili supaya menjalankan aktiviti pengedaran dan pembekalan secara beretika dan tidak cuba untuk mengaut untung berlebihan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Industri ini (cili) juga tertakluk di bawah pematuhan peruntukan perundangan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan mana-mana akta di bawah bidang kuasa kementerian.
“Saya juga akan berbincang dengan rakan sejawat di Kementerian Pertanian dan Industri Makanan berhubung langkah strategik dan progresif untuk meningkatkan keupayaan petani cili tempatan.
“Buat masa ini, hasil tanaman cili tempatan adalah pada peringkat 45 peratus dan ia akan ditingkatkan pada masa depan supaya lebih berdaya-saing dan menguntungkan petani tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, penanaman cili di Malaysia dipengaruhi oleh elemen seperti iklim cuaca sekitar 28 hingga 29 darjah selsius, tanah jenis gambut dan pasir dengan nilai Ph 5.5 hingga 6.5 dan tahap kelembapan yang sederhana.
Alexander berkata, buat masa ini, kebanyakan benih cili diperoleh daripada Taiwan, Jepun dan Korea.
Menurutnya, terdapat beberapa jenis cili yang ada di pasaran iaitu Cili Mardi, Cili Merah Minyak, Cili Sime Darby, Cili Kulai dan Cili Import.
“Namun begitu, pengguna mempunyai pilihan dan cita rasa tersendiri dari sudut rasa, rupa fizikal, ketahanan kesegaran dan khasiatnya.
“Pengguna di Malaysia, dikatakan lebih suka memilih cili Kulai berbanding cili-cili lain,” katanya.
Katanya, penggunaan cili oleh pengguna Malaysia dianggarkan kira-kira 0.006 kg seorang sehari, 0.17 kg sebulan dan 2.0 kg setahun dan keperluan setahun bagi 32.73 juta rakyat ialah 65.46 juta kg cili. -UTUSAN ONLINE