Hanya penyewa warga asing jalani ujian calitan Covid-19 - Utusan Malaysia

Hanya penyewa warga asing jalani ujian calitan Covid-19

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan mempertimbangkan untuk tidak menghalang mana-mana pihak pengurusan kondominium atau kawasan perumahan, membuat peraturan berkaitan menjalankan ujian calitan Covid-19 khusus bagi warga asing sahaja.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, langkah ini demi menjaga keselamatan penduduk di kawasan mereka.

Beliau berkata, penjelasan yang diberikan semalam ketika sesi sidang akhbar itu adalah berkisar persoalan media tentang syarat yang dikenakan oleh  pengurusan kondominium yang mengarahkan penyewa warga asing menjalani ujian saringan itu.

Bagaimanapun, katanya, banyak pihak salah faham termasuk ahli politik yang cuba memanipulasi jawapan itu, malah terdapat persatuan seperti Institut Kemudahan dan Hartanah Malaysia (MIPFM), Institusi Diraja  Juruukur Malaysia (RISM) serta Persatuan Penilai, Pengurus Hartanah,  Ejen Hartanah dan Perunding Hartanah bagi Sektor Swasta Malaysia  (PEPS) yang mengeluarkan kenyataan balas kerana mendapat  maklumat yang tidak tepat.

“Ingin saya jelaskan dengan lebih lanjut, sebenarnya ia adalah berkaitan  penyewa warga asing dan bukannya rakyat tempatan. 

“Malah, saya telah jelaskan bahawa tidak ada polisi daripada Majlis  Keselamatan Negara (MKN) mengatakan sesiapa yang ingin masuk ke  dalam kondominium atau mana-mana kawasan perumahan mesti dibuat ujian saringan terlebih dahulu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, penetapan syarat itu terpulang kepada pihak pengurusan kondominium atau  mana-mana kawasan perumahan untuk menjalankan ujian itu atau tidak.

 Beliau memberitahu, kondominium dan apartmen tertutup adalah kawasan persendirian yang  mana pengurusan boleh membuat peraturan di dalam kawasan mereka.  

Malah, katanya, mereka boleh membuat peraturan menyekat pelawat masuk ke  kawasan kondominium mereka tertakluk kepada undang-undang sedia ada.

“Di Sarawak, misalnya, ada kawasan rumah panjang yang tidak  membenarkan orang luar memasuki rumah-rumah panjang bagi  menjaga keselamatan penduduk,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menjunjung kasih titah Sultan di beberapa negeri yang menitahkan mengenai prosedur operasi standard (SOP) masjid dan jumlah  jemaah yang dibenarkan. 

Katanya, ini selaras dengan kenyataan dikeluarkan dahulu bahawa perihal agama Islam adalah di bawah bidang kuasa pihak  berkuasa agama negeri yang dinaungi oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan.

“Titah Tuanku Sultan-Sultan ini juga jelas menunjukkan keprihatinan  Baginda yang mengambil berat terhadap kesihatan dan nyawa rakyat. 

“Maka, saya berharap semua pihak menjunjung kasih titah Tuanku Sultan-Sultan dan tidak lagi mempertikaikan SOP masjid,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya