PUTRAJAYA: Sesi persekolahan secara bersemuka yang bermula 20 Januari ini di seluruh negara hanya melibatkan pelajar yang akan menduduki peperiksaan berikutan peningkatan kes jangkitan Covid-19 hari ini sehingga 4,029 kes.
Peperiksaan itu adalah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) tahun 2020 serta peperiksaan antarabangsa yang setara.
Kementerian Pendidikan memaklumkan, semua murid sekolah rendah dan pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 di sekolah menengah pula mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mengikut kesesuaian guru serta murid mulai tarikh sama.
“Memandangkan ada pelajar sudah mula mendaftar masuk di asrama mulai hari ini (semalam), bagi sekolah berasrama penuh, pelajar Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 boleh kekal di asrama dan mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian di sekolah.
“Kumpulan pelajar itu bagaimanapun boleh memilih untuk pulang ke rumah dan mengikuti PdPR dan ibu bapa atau penjaga dibenarkan mengambil anak atau anak jagaan pulang pada bila-bila masa yang sesuai dengan mematuhi garis panduan ditetapkan,” katanya.
Kementerian itu memberitahu, bagi pelajar Tingkatan 5 pada tahun lalu dan Tingkatan 6 pula, mereka boleh mengikuti PdP secara bersemuka di sekolah sehingga selesai peperiksaan.
Dalam pada itu, katanya, bagi asrama sekolah harian, (pelajar Tingkatan 1, Tingkatan 4 dan Tingkatan 5) boleh kekal di asrama dan mengikuti PdP secara dalam talian di sekolah atau boleh pulang ke rumah dan mengikuti PdPR.
“Begitu juga murid Tingkatan 5 (2020) dan Tingkatan 6, mereka mengikuti PdP secara bersemuka di sekolah sehingga selesai peperiksaan.
Katanya, guru yang terlibat dengan kelas peperiksaan SPM/SVM/SKM/STPM/STAM/DVM tahun 2020 perlu hadir ke sekolah untuk tujuan PdP secara bersemuka manakala guru yang lain akan melaksanakan PdPR dan kehadiran ke sekolah adalah berdasarkan keperluan yang ditetapkan oleh Ketua Jabatan.
“Bagi pelajar Kolej Matrikulasi, mereka perlu kekal di kolej masing-masing untuk terus mengikuti pembelajaran secara hibrid,” katanya.
Sementara itu, Kementerian menjelaskan, semua pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) yang telah berada di asrama perlu kekal berada di asrama kampus.
Menurutnya, pelajar yang belum mendaftar di asrama boleh memilih masuk ke asrama atau kekal berada di rumah masing-masing.
“PdP untuk semua pelajar IPG akan dilaksanakan secara dalam talian mulai esok dan perincian berkaitan pelaksanaan praktikum dan internship IPG akan dimaklumkan kelak.
“Pada masa sama, semua tadika swasta yang berdaftar dengan Kementerian boleh terus beroperasi secara bersemuka.
“Kementerian menyarankan agar semua ketetapan ini turut diikuti oleh sekolah sekolah yang tidak berdaftar dengan Kementerian, termasuk sekolah di bawah Kerajaan Negeri,” katanya. -UTUSAN ONLINE