Hanya lima petugas buat upacara Thaipusam di kuil - Ismail

Hanya lima petugas buat upacara Thaipusam di kuil – Ismail

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan tiada upacara sambutan Thaipusam dibenarkan namun penganut Hindu digalakkan melakukan sembahyang perayaan itu di rumah masing-masing.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu susulan kajian teliti semua aspek termasuk peningkatan kes harian ketika ini yang masih lagi tinggi.

“Bagaimanapun, hanya lima orang ahli jawatankuasa atau petugas kuil dibenarkan hadir ke kuil untuk menjalankan upacara keagamaan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, aktiviti ziarah juga tidak dibenarkan dan sebaliknya sambutan itu boleh diraikan bersama melibatkan seisi ahli keluarga dalam kediaman mereka sendiri.

Menyentuh pertimbangan khas pihak pengurusan Kuil Sri Mariamman di Kuala Lumpur untuk membawa arca Dewa Murugan ke Batu Ceves, Selangor, ia dibenarkan dengan syarat ketat.

Antaranya ujar beliau, pedati bergerak dari kuil tersebut di Jalan Tun H.S. Lee ke Kuil Sri Subramaniar itu mulai pukul 3 pagi 27 Januari tanpa ada perarakan penganut agama berkenaan.

“Hanya 10 orang berada dalam kenderaan membawa pedati dengan pengawasan ketat polis dan tidak dibenarkan untuk melakukan persinggahan sepanjang perjalanan itu,” tegas beliau.

Menyentuh isu pasangan jarak jauh (PJJ), Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju untuk mereka merentas negeri bertemu keluarga dengan syarat ada kelulusan daripada pihak polis.

Kelonggaran khas tersebut bermula esok namun bagi pasangan yang bergejala, Ismail Sabri menasihatkan agar mereka mendapatkan rawatan terlebih dahulu sebelum bergerak pulang.

Ditanya mengenai ada beberapa kementerian dan agensi kerajaan masih bermesyuarat secara bersemuka, beliau menegaskan, ia tetap dilarang keras dan boleh diambil tindakan.

“Tiada sesiapa pun terkecuali malah mesyuarat MKN setiap hari pun dibuat secara maya tanpa bersemuka lagi, jadi tiada sebab untuk pihak berkenaan tidak patuh arahan ini,” ujarnya.

Ismail Sabri turut ditanya berhubung penunggang basikal rekreasi melakukan aktiviti riadah itu namun dilihat bebas menunggang kenderaan tersebut melebihi lingkungan jarak 10 kilometer.

Beliau yang terkejut dengan perkara berkenaan mengulangi peringatan bahawa kegiatan tersebut hanya dalam radius 10 kilometer dari rumah sendiri dan tidak boleh lebih daripada itu.

Disoal wartawan bahawa ada pesakit positif Covid-19 yang diarah kuarantin di rumah lambat menerima bantuan, beliau berkata, mereka perlu segera hubungi Pejabat Kesihatan Daerah.

Katanya, langkah itu agar tindakan susulan dapat dibuat selain boleh merujuk perkara tersebut terus kepada Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) yang sudah pun diwujudkan kerajaan di setiap daerah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN