Hanya 77 penerima makanan ditakrif gelandangan

Hanya 77 penerima makanan ditakrif gelandangan

ZAITON Ismail (kiri) melihat pembahagian makanan kepada gelandangan ketika meninjau golongan itu di tempat letak kereta Jalan Ibrahim, Johor Bahru semalam. – FOTO/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seramai 77 daripada 237 individu yang didaftarkan untuk menerima makanan di tempat khas yang disediakan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di Dataran Tun Sri Lanang, Jalan Ibrahim di sini tiada tempat tinggal dan ditakrifkan sebagai gelandangan.

Pengerusi Jawatankuasa Pem­bangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Zaiton Ismail berkata, baki 160 orang pula mempunyai kediaman dan tempat tinggal masing-masing tetapi berdepan dengan masalah kewangan disebabkan Covid-19.

“Ketika ini hanya 77 gelandangan di sekitar bandar raya ini dan kebanyakannya adalah mereka yang datang dari luar negeri Johor. Kita tidak boleh menye­kat kemasukan mereka yang cuba mencari rezeki di sini.

“Bagi gelandangan berkeluarga, mereka dihantar pulang ke pangkuan keluarga dan setakat ini seramai 11 keluarga telah dibantu,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan makanan daripada pihak NGO dan kedai makanan termasuk individu kepada gelandangan di sini semalam.

Zaiton berkata, semasa Perin­tah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama tahun lalu, 250 gelandangan yang berkeliaran di bandar raya ini ditempatkan di Kem Wawasan Negara Gunung Pulai, Kulai dan kesemua mereka dihantar pulang ke pangkuan keluarga masing-masing.

Menurutnya, isu gelanda­ngan yang semakin meningkat sejak PKP ini dilihat sukar ditangani secara menyeluruh dan memerlukan masa bagi menga­tasinya, namun Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi berkaitan akan membantu mereka supaya tidak berterusan hidup di jalanan.

“JKM kena sentiasa santuni golongan ini dan membuat pe­meriksaan latar belakang mereka. Sekiranya mempunyai waris, kita akan serahkan kepada waris mereka manakala bagi yang tidak ada pula barulah diletakkan ke rumah perlindungan JKM.

“Kita juga bersama-sama NGO yang terlibat akan membantu mereka mencari pekerjaan melalui usaha yang akan dibuat secara berterusan hingga bebas gelandangan. Bagi mereka yang tidak mempunyai tempat tinggal pula, kita akan tempatkan di Anjung Singgah untuk sementara waktu,” katanya.

Bagaimanapun jelas beliau, tidak dinafikan ada yang tinggal sekejap sahaja di Anjung Singgah sebelum kembali ke jalanan.

Dalam pada itu Zaiton me­minta NGO yang mahu memberi sumbangan makanan kepada gelandangan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) selaras dengan arahan yang di­keluarkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) se­panjang tempoh PKP.

“Tujuan penyelarasan dibuat ini adalah untuk memastikan pengagihan makanan lebih berstruktur, tersusun dan mengelakkan pembaziran. Pada masa sama, kita dapat mengawal pembuangan sampah merata-rata.

“MBJB telah menetapkan Dataran Tun Sri Lanang sebagai kawasan khusus untuk pemberian makanan dan pemberian makanan selain daripada kawasan ini boleh dikenakan kompaun berjumlah RM250,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya