Hanya 164 penghantar makanan Melaka carum Perkeso - Utusan Malaysia

Hanya 164 penghantar makanan Melaka carum Perkeso

ABD. RAZAK Omar (tengah) bersama sebahagian daripada penghantar makanan yang telah mendaftar skim SPS di pejabat Perkeso, Ayer Keroh, semalam. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) meminta seramai 486 penghantar makanan di negeri ini mendaftar Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SPS) yang diberikan secara percuma selama setahun.

Pengarah Perkeso Melaka, Abd. Razak Omar berkata, melaluinya segala kebajikan penghantar makanan termasuk keluarga akan terbela sekiranya ditimpa musibah seperti kemalangan jalan raya yang menyebabkan kecederaan atau maut.

Beliau berkata, segala kos perubatan akan ditanggung oleh Perkeso manakala bagi kes kematian akibat kemalangan pula, waris atau keluarga mangsa akan menerima faedah orang tanggungan (FOT) iaitu pencen seumur hidup kepada balu manakala anak pula sehingga berusia 21 tahun.

“Justeru saya merayu semua penghantar makanan di negeri ini agar segera datang ke pejabat Perkeso terdekat untuk mendaftar skim SPS. Bagi mereka yang mendaftar, tidak dikenakan sebarang bayaran selama setahun kerana semua ini ditanggung oleh kerajaan.

“Mengikut statistik terdapat seramai 650 penghantar makanan di negeri ini tetapi hanya 164 orang sahaja telah mendaftar di bawah skim SPS. Jumlah ini masih rendah berbanding jumlah sebenar mereka yang aktif,” katanya ketika ditemui di pejabat Perkeso Ayer Keroh di sini hari ini

SPS yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin November lalu menerusi peruntukan sebanyak RM24 juta adalah khusus untuk membiayai caruman khidmat penghantar makanan di bawah inisiatif Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai).

Penghantar makanan diletakkan dalam pelan caruman kedua iaitu bayaran sebanyak RM232.80 untuk tempoh perlindungan setahun yang dibiayai sepenuhnya kerajaan.

Tambah Abd. Razak, berdasarkan rekod bagi tahun lalu, terdapat 31 kes tuntutan SPS dan 12 kes daripadanya melibatkan penghantar makanan.

Jelasnya, daripada jumlah tersebut, hanya dua kes sahaja yang melibatkan kematian.

Katanya lagi, kesemua yang terlibat mendapat perlindungan manakala balu dalam dua kes kematian itu pula mendapat pencen seumur hidup.

“Inilah masanya semua penghantar makanan cepat-cepat berdaftar di Perkeso memandangkan mereka ini adalah golongan berisiko tinggi terdedah kepada kemalangan jalan raya. Jika berlaku musibah mereka mendapat perlindungan sewajarnya,” ujarnya.

Urusan pendaftaran SPS boleh dilakukan di mana-mana pejabat Perkeso terdekat, secara dalam talian melalui laman sesawang matrix.perkeso.gov.my atau menghubungi talian 1-300-22-8000. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya