KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr. Hamid Sultan Abu Backer tidak mendapat kebenaran Mahkamah Tinggi di sini untuk mencabar tindakan Jawatankuasa Etika Hakim (JEC) menjalankan prosiding inkuiri terhadapnya secara tertutup.
Ketetapan itu dicapai selepas Hakim Datuk Seri Mariana Yahya menolak permohonan beliau untuk mendapat kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan JEC.
Mahkamah turut membenarkan permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mewakili JEC untuk membatalkan saman pemula yang difailkan oleh Hamid Sultan melibatkan isu penghakiman dan afidavit
yang diikrarkannya.
Mariana memutuskan demikian tanpa kos selepas berpuas hati permohonan hakim berkenaan adalah bersifat pramatang pada peringkat ini kerana JEC masih belum bersidang dan membuat sebarang keputusan mengenai aduan terhadap beliau.
Keputusan itu diumumkan secara dalam talian hari ini melalui aplikasi Zoom dengan kehadiran Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambali yang mewakili JEC manakala Datuk Bastian Vendargon dan Datuk Joy Wilson Appukuttan mewakili Hamid Sultan.
Prosiding inkuiri itu sepatutnya dijadualkan bersidang pada 25 November tahun lalu. Tarikh baharu belum ditetapkan.
Pada 20 Oktober tahun lalu, Hamid Sultan memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan menamakan Pengerusi JEC yang juga Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan JEC masing-masing sebagai responden pertama dan kedua.
Beliau memohon perintah membatalkan keputusan responden berhubung prosiding inkuiri secara tertutup, selain deklarasi bahawa keputusan itu tidak sah dan batal serta bercanggah dengan Perkara 5 dan 8 Persekutuan Perlembagaan.
Hamid Sultan, dalam afidavit sokongan yang difailkannya menyebut, permohonan itu difailkan berdasarkan keputusan responden pertama untuk menyiasat dua aduan yang dibangkitkan terhadapnya oleh hakim lain.
Aduan pertama melibatkan penghakimannya di Mahkamah Rayuan dalam kes Pendakwa Raya menentang Aluma Mark Chinonso dan satu lagi.
Aduan kedua melibatkan afidavit yang diikrarkan bagi menyokong saman pemula difailkan peguam Sangeet Kaur Deo, yang memohon beberapa deklarasi berhubung keputusan mahkamah dalam rayuan
bapanya, mendiang Datuk Seri Utama Karpal Singh.
Menurut Hamid Sultan, siasatan berhubung salah laku membabitkan hakim tidak boleh dilakukan secara tertutup kerana ia bercanggah dengan prinsip kebebasan kehakiman.
Pada 9 Oktober tahun lalu, Hamid Sultan memfailkan saman sama ada JEC boleh menyiasat penghakiman dan afidavit yang diikrarkannya. – UTUSAN ONLINE