Hakim penjarakan Najib ditukarkan 1 Mac ini - Utusan Malaysia

Hakim penjarakan Najib ditukarkan 1 Mac ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Berkuat kuasa 1 Mac ini, Hakim Mahkamah Tinggi Jenayah yang memerintahkan agar bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dipenjara selama 12 tahun dan denda RM210 juta ditukarkan ke Mahkamah Tinggi Sivil di sini.

Menurut kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (PKPMP) yang dikeluarkan hari ini, Mahkamah Tinggi Jenayah 3 yang menjadi lokasi bersejarah hukuman tersebut turut ditutup sebaik sahaja kesemua kes di mahkamah terbabit diselesaikan.

“PKPMP mengesahkan mengenai pertukaran Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Jenayah 3) ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (NCVC 2) berkuat kuasa 1 Mac.

“Pertukaran ke Mahkamah Sivil adalah bagi menggantikan Hakim Wong Chee Lin yang akan bersara. Mohd. Nazlan sebelum ini merupakan Hakim Mahkamah Tinggi Dagang sebelum berpindah ke Mahkamah Tinggi Jenayah dan mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam hal-hal berkaitan kes sivil dan komersial,” jelas kenyataan itu.

Menurut portal berita yang memetik kenyataan beberapa peguam, pertukaran Mohd. Nazlan yang dimaklumkan melalui pekeliling dikeluarkan Majlis Peguam kepada semua anggotanya kelmarin menimbulkan pelbagai tanda tanya kerana hanya membabitkan seorang hakim.

Bagaimanapun menurut PKPMP, pertukaran tersebut adalah amalan biasa.

Pada 28 Julai lepas Mohd. Nazlan mensabitkan Najib yang merupakan Ahli Parlimen Pekan terhadap tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah, pengubahan wang dan salah guna kedudukan.

Hukuman penjara dan denda terhadap beliau masih tergantung sementara menunggu rayuan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN