Hadkan bilangan pekerja ke ladang, kilang - Mohd. Khairuddin

Hadkan bilangan pekerja ke ladang, kilang

MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Majikan sektor agrikomoditi perlu mengehadkan bilangan pekerja ke ladang dan kilang mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengelak peningkatan kes baharu Covid-19 berpunca dari kluster tempat kerja.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, para pekerja juga perlu dipastikan mereka tidak berkumpul di ruang sempit  selain mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter dipatuhi  pada setiap masa. 

Bukan sekadar itu, katanya, majikan juga perlu mengingatkan pekerja masing-masing supaya sentiasa mematuhi semua SOP dan peraturan yang ditetapkan setelah pulang bekerja bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan  kepada ahli keluarga, rakan-rakan dan masyarakat pula.

“Kementerian turut mengambil maklum keputusan Kerajaan Negeri Sabah tidak akan menutup ladang-ladang sawit di negeri itu berikutan penularan wabak Covid-19, sebaliknya mengarahkan syarikat perladangan melakukan ujian saringan ke atas semua pekerja dalam tempoh 30  hari. 

“Prosedur itu membabitkan seramai 153,250 pekerja dari 1,160 estet dan 33,034 ladang pekebun kecil bermula semalam. Kementerian mengalu-alukan langkah kerajaan negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, para majikan diingatkan supaya mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019 (Akta 446).  

Jelas beliau, pematuhan kepada Akta 446 adalah selaras dengan Inisiatif Keempat Pakej  Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) iaitu Memperkukuh Saringan Kesihatan Pekerja. 

Kata Mohd. Khairuddin, pematuhan  terhadap Akta 446 adalah amat penting bagi memastikan pekerja mempunyai  tempat kediaman yang bersih dan kondusif serta mengelakkan kesesakan bagi  mencegah penularan jangkitan Covid-19.  

“Bagi memastikan semua SOP dipatuhi sepenuhnya, majikan sektor agrikomoditi  perlulah merujuk kepada SOP Sektor Agrikomoditi yang disediakan dan dikemas kini Kementerian dari semasa ke semasa. 

“SOP tersebut yang diwartakan oleh Ketua Pengarah Kesihatan pada 15  Januari lalu boleh dirujuk di laman web Kementerian melalui pautan https://www.mpic.gov.my/mpi/pkp/pkp-2-0,” katanya.

Sebarang pertanyaan berhubung  SOP tersebut boleh dikemukakan kepada kementerian melalui talian hotline 03- 88803498 pada hari Isnin hingga Jumaat bermula jam 8 pagi hingga 5 petang  atau emel [email protected]. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya