KEPALA BATAS: Guru lelaki kerugian RM75,000 dipercayai ditipu sindiket yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di sini semalam.
Mangsa yang berusia 28 tahun sebelum itu menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang mendakwa sebagai kakitangan LHDN kira kira pukul 3 petang yang memaklumkan dia mempunyai tunggakan cukai syarikat.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner, Noorzainy Mohd. Noor berkata, panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada ‘pegawai polis’ berpangkat Asisten Komisioner dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang yang mendakwa mangsa turut terlibat dengan kes dadah dan pengubahan wang haram.
“Mangsa yang ketakutan mengikuti arahan dan memuat turun aplikasi Bank Negara untuk mengisi maklumat perbankan miliknya.
“Berdasarkan semakan yang dilakukannya, mangsa mendapati wang di dalam akaun bank miliknya berkurangan menerusi transaksi yang dipercayai dilakukan menerusi aplikasi terbabit,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata siasatan lanjut kini dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – UTUSAN ONLINE