ALOR SETAR: Seorang guru kerugian RM27,000 setelah diperdaya wanita menyamar pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) cawangan Cyberjaya di Selangor.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Elias Omar berkata, mangsa berusia 38 tahun dari Sungai Petani dekat sini menerima panggilan daripada suspek yang memperkenalkan dirinya sebagai Noraini Haji Daud.
Katanya, suspek mengatakan kepada mangsa yang dia mempunyai tunggakan sebanyak RM36,600.90.
“Suspek dipercayai memperdayakan mangsa dengan mengatakan namanya disalah guna oleh individu dalam pendaftaran sebuah syarikat di Kuantan, Pahang.
“Talian telefon kemudian disambung kepada rakan suspek, yang menyamar anggota polis dari Kuantan, Pahang yang menyiasatnya. Setelah soal siasat mangsa didapati terlibat dalam penyelewengan wang dan dadah,” katanya di sini hari ini.
Beliau menambah, rakan suspek yang berjaya memperdayakan mangsa dengan jenayah itu kemudian mengarahkan dia memindahkan semua wang daripada empat akaun Tabung Haji kepada dua akaun bank miliknya bagi mengelakkan semua akaunnya dibekukan.
“Suspek kemudian meminta mangsa menyerahkan nombor akaun, nombor kad debit dan butiran perbankan miliknya.
“Penipuan disedari mangsa apabila wang sebanyak RM27,000 daripada akaun bank tersebut dipindahkan ke akaun pihak ketiga,” jelasnya.
Katanya, mangsa telah membuat laporan polis di Sungai Petani dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE