KUANTAN: Seorang guru wanita kerugian RM8,000 selepas diperdaya jejaka Itali yang baru tiga minggu dikenalinya melalui laman Facebook.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, wanita berusia 45 tahun itu menerima permintaan suspek untuk menjadi rakan Facebook pada Disember lalu.
Menurutnya, suspek menggunakan nama akaun Facebook Mahadev Prodhan dan mendakwa dirinya sebagai warganegara Itali.
“Sejak perkenalan selama kira-kira tiga minggu itu, mangsa dan suspek kerap berhubung melalui aplikasi WhatsApp menggunakan telefon bimbit.
“Pada 28 Disember lalu, suspek memaklumkan telah mengirim barang berupa hadiah persahabatan,” katanya di sini hari ini.
Tambah Mohd. Wazir, berselang tiga hari kemudian mangsa dihubungi individu menyamar pihak pos dari Itali dan diminta membayar caj pelepasan kastam.
“Mangsa memasukkan wang melalui empat transaksi ke dalam dua akaun bank tempatan sebelum dihubungi sekali lagi.
“Individu tersebut meminta pula bayaran RM15,000 kerana barang yang dikirim terlalu banyak,” katanya.
Jelasnya, mangsa tidak melakukan sebarang bayaran tambahan kerana mula berasa sangsi sebelum tampil membuat laporan polis.
Guru wanita tersebut membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Raub semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE