JERANTUT: Tindakan sekumpulan gajah liar masuk ke kawasan kampung dan memusnahkan tanaman bukan masalah baharu kepada penduduk di beberapa perkampungan di Ulu Tembeling di sini.
Ketua Kampung Bantal, Hamdan Ali berkata, dalam kejadian malam semalam, lima ekor gajah liar menyelinap masuk ke Kampung Gusai memusnahkan tanaman seperti pisang, koko dan pokok kelapa.
“Akibatnya, ia banyak tanaman penduduk rosak dan terpaksa menanggung kerugian yang besar.
“Apa yang lebih utama keselamatan keluarga kerana kita bimbang gajah-gajah berkenaan agresif dan di luar jangkaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Hamdan berkata, termasuk kejadian kira-kira pukul 10 malam semalam itu, sudah tiga kali gajah liar menjadikan Kampung Gusai sebagai ‘sasaran’ mencari makan.
Oleh itu ujarnya, penduduk di situ berharap Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dapat membantu menghalau gajah-gajah liar berkenaan ke habitat asal.
Menurutnya, kelibat sekumpulan gajah menceroboh kawasan kediaman dan memusnahkan tanaman penduduk semakin kerap sejak Mac tahun lalu.
“Penduduk berharap penyelesaian terbaik khususnya bagi keselesaan keluar bekerja serta melakukan kegiatan harian mereka,” katanya. – UTUSAN