Gagal patuh SOP di pejabat punca enam kluster di Terengganu - Utusan Malaysia

Gagal patuh SOP di pejabat punca enam kluster di Terengganu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja menyebabkan berlakunya enam kluster Covid-19 di negeri ini.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, kluster terbaharu dikesan pada 16 Januari lalu dan sehingga kini telah menular ke empat daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Dungun dan Setiu.

Malah katanya, kluster tersebut turut menjangkiti kalangan ahli keluarga dan kontak sosial lain menjadikan keseluruhan kes positif seramai 35 orang.

“Pengajaran daripada kluster tempat kerja adalah kegagalan dalam pematuhan SOP dan diburukkan oleh pergerakan yang tidak terkawal dan melibatkan kumpulan ramai.

“Kita boleh menilai sendiri setakat mana kepatuhan SOP di tempat kerja, berapa ramai yang memakai pelitup muka di pejabat dan memandang remeh penggunaannya padahal kita tidak tahu status Covid-19 kawan kita yang mungkin baru balik dari zon merah atau ada kontak rapat,” katanya dalam hantaran di laman Facebook di sini.

Menurut Nor Azimi, kesilapan terbesar masyarakat ialah membuka pelitup muka ketika bercakap.

Sedangkan katanya, virus Covid-19 boleh berjangkit melalui titisan air yang disebarkan melalui percakapan di samping bersin dan batuk.

“Di samping itu kita masih mengamalkan bersembang secara rapat, bersalaman dan bersentuhan sedangkan sepatutnya kita semua sudah membudayakan kebiasaan baharu.

“Jangan ambil mudah nasihat elak 3C dan amal 3W kerana hanya ini tindakan paling berkesan buat masa ini untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya