PUTRAJAYA: Pelbagai program menarik anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) disusun untuk masyarakat Muslim bersempena Hari Wilayah Persekutuan 2021 esok.
Antara acaranya ialah Forum Perdana Ehwal Islam dalam talian dengan tajuk selaras tema rasmi sambutan tahun ini iaitu ‘Masyarakat Cakna, Wilayah Sejahtera’ pada pukul 9 malam ini.
“Ia disiarkan secara langsung melalui akaun sosial rasmi Facebook Jawi dan bakal membariskan dua ahli panel tersohor tanah air,” kata agensi itu menerusi kenyataannya hari ini.
Turut diadakan ialah Forum Perdana Ehwal Islam secara serentak di sembilan masjid di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan pada 9 malam 5 Februari depan.
Pelaksanaan semua program sambutan secara dalam talian itu juga sejajar amalan norma baharu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di tiga Wilayah Persekutuan.
Inisiatif ini turut membolehkan umat Islam dan sesiapa sahaja di luar wilayah berkenaan dapat menyaksikan acara khas yang diatur oleh pihak Jawi tanpa perlu hadir ke lokasi ditetapkan.
Sambutan kali ini dimulakan dengan program ‘Yasin Hour’ secara serentak di semua institusi pendidikan Islam di bawah seliaan pihak Jawi yang juga dibuat atas talian pada 29 Januari lalu.
“Turut dianjurkan ‘Wilayah Persekutuan Bermunajat’ pada semalam dengan siaran langsung melalui laman Facebook Jawi dari Masjid Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur,” kata kenyataan itu.
Acara berkenaan menurut Jawi lagi, buat julung kalinya itu telah pun diadakan secara serentak di kesemua 85 masjid serta 662 surau Jumaat dan biasa di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan.
Tidak ketinggalan ialah program Khutbah Jumaat Khas bertemakan ‘Wilayah Persekutuan Wilayah Prihatin’ yang akan dibacakan di semua masjid dan surau Jumaat pada 5 Februari ini.
Pembentukan rasmi Wilayah Persekutuan bermula di Kuala Lumpur pada 1974 diikuti Labuan (1984) dan terakhir, Putrajaya (2001) dengan keluasan keseluruhan 381 kilometer persegi.
Jawi amat mengalu-alukan penyertaan masyarakat Islam dalam semua program dianjurkan itu secara atas talian sejajar dengan norma baharu susulan penularan serius wabak Covid-19.
“Marilah kita semua terus berdoa dan bermunajat agar Allah mengurniakan kesejahteraan dan memelihara Wilayah Persekutuan dari segala bencana dan pandemik melanda,” katanya.- UTUSAN ONLINE
TAMAT