Fenomena ombak besar bukan pesta - Utusan Malaysia

Fenomena ombak besar bukan pesta

ABDUL RAHIM MD. DIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Orang ramai dinasihatkan agar tidak menjadikan fenomena ombak besar dan angin kencang yang diramalkan melanda Terengganu sehingga esok sebagai satu pesta.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din berkata, tindakan berkumpul beramai-ramai di Pantai Seberang Takir di sini untuk menyaksikan kejadian alam itu boleh mengundang bahaya kepada nyawa jika kejadian tidak diingini berlaku.

Sehubungan itu katanya, polis tidak menolak kemungkinan untuk menutup keseluruhan laluan di pantai tersebut bagi mengelak kesesakan orang ramai.

“Kita telah mengambil langkah awal dengan menutup sebahagian laluan iaitu dari arah Teluk Ketapang ke jambatan angkat sejak pukul 10 malam kelmarin manakala laluan arah bertentangan bakal ditutup jika kesesakan berlaku.

“Saya minta orang ramai tidak menjadikan fenomena ini sebagai satu pesta dan keluar beramai-ramai untuk melihatnya,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemantauan di Pantai Seberang Takir di sini semalam.

Menurut Abdul Rahim, polis akan meneruskan pemantauan dan rondaan selama 24 jam di pantai-pantai di daerah ini dan Kuala Terengganu sehingga keadaan cuaca kembali reda.

Katanya, langkah itu dalam masa sama dapat memastikan orang ramai tidak bersantai di kawasan pantai termasuk melakukan aktiviti berenang atau bermain di gigi air.

“Orang ramai yang ingkar akan dikenakan tindakan undang-undang yang bersesuaian dengan prosedur operasi standard (SOP) mengikut Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya