PUTRAJAYA: Fasiliti Kementerian Kesihatan diakui sudah tidak mampu untuk menampung peningkatan sehingga 2,000 kes baharu setiap hari.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, realiti situasi sistem kesihatan pada masa ini berada dalam keadaan kritikal dengan 15 hospital Covid-19 mencatatkan kadar penggunaan katil Covid-19 (bukan ICU) melebihi 70 peratus.
Menurut beliau, kadar penggunaan katil ICU untuk pesakit Covid-19 di Lembah Klang iaitu di Hospital Kuala Lumpur dan di Pusat Perubatan Universiti Malaya telah mencapai 100 peratus manakala di Hospital Sungai Buloh pula 83 peratus.
Kata beliau, kadar penggunaan katil ICU untuk pesakit Covid-19 di lima negeri iaitu Perak, Selangor, Melaka, Terengganu dan Sarawak telah melebihi 70 peratus.
“Buat masa ini, terdapat lebih dari 1,450 anggota perubatan di hospital seluruh negara yang telah dijangkiti atau terpaksa menjalani arahan kuarantin dan tidak dapat bertugas.
“Jumlah kematian akibat Covid-19 pula terus meningkat kepada 521 kes dengan kadar kematian sebanyak 0.41 peratus. Malaysia mencatatkan lebih 100 kes kematian sebulan bagi bulan Oktober hingga Disember berbanding dua hingga 59 kes kematian sebulan bagi Mac hingga September tahun lalu,” katanya dalam perutusan khas, di sini hari ini.
Muhyiddin berkata, pertambahan kes harian yang tinggi menyebabkan kelewatan petugas kesihatan untuk mengambil para pesakit di rumah untuk dibawa ke hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Risiko Rendah COVID-19 (PKRC).
Kata beliau, bencana banjir dan peningkatan kes di beberapa negeri juga menyukarkan proses mobilisasi anggota di dalam negeri dan juga di antara negeri sekali gus menyulitkan usaha menambah bilangan katil ICU untuk pesakit kritikal.
Dalam menangani pandemik Covid-19, Perdana Menteri berkata, amat penting bagi mana-mana negara untuk mengelakkan insiden peningkatan kes yang mendadak dalam tempoh masa yang singkat.
Kata Perdana Menteri, peningkatan jumlah pesakit secara mendadak akan melumpuhkan kapasiti sistem kesihatan sedia ada dalam sekelip mata dan tidak lagi mampu untuk menampung jumlah pesakit yang memerlukan rawatan dan kes-kes kematian akan terus meningkat.
“Tidak mudah untuk saya mengatakan semua ini tetapi inilah realiti yang berlaku sekarang dengan berbagai kemungkinan yang terpaksa kita hadapi sekiranya dibiarkan berlarutan tanpa sebarang campur tangan atau intervensi kesihatan awam yang lebih ketat.
“Justeru berdasarkan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta pelbagai Kementerian dan Agensi serta nasihat pakar-pakar kesihatan awam di dalam negara, kerajaan bersetuju dengan pandangan bahawa satu tindakan yang tegas perlu diambil untuk memutuskan rantaian jangkitan penularan virus Covid-19,” katanya.
Mengikut rekod, Malaysia mula merekodkan kes harian empat digit bagi Covid-19 pada 24 Oktober tahun lalu (iaitu sejumlah 1,228 kes) dan bermula penghujung November, fenomena kes harian empat digit direkodkan setiap hari sehinggalah rekod tertinggi dilaporkan pada 7 Januari lalu sebanyak 3,027 kes.
Kata Perdana Menteri, di dalam gelombang ketiga bermula pada 20 September tahun lalu, sejumlah 476 kluster baharu dilaporkan sehingga semalam melibatkan 259 kluster tempat kerja.
Katanya, data ini menunjukkan peningkatan ketara bilangan kluster baharu di dalam gelombang ketiga berbanding 110 kluster baharu yang direkodkan semasa gelombang kedua dengan 25 kluster melibatkan tempat kerja.
“Secara keseluruhannya, sebanyak 586 kluster telah direkodkan sehingga semalam dengan 48.46 peratus daripadanya merupakan kluster yang melibatkan tempat kerja. Daripada jumlah ini juga, sebanyak 254 kluster masih lagi aktif manakala 332 kluster telah pun diisytiharkan tamat,” katanya.
Pada permulaan gelombang ketiga, kata Muhyiddin, kes-kes lebih tertumpu kepada kumpulan bukan warganegara, iaitu sebanyak 63 peratus dan hanya 37 peratus melibatkan warganegara.
Namun, katanya, perkembangan semasa menunjukkan jangkitan dalam kalangan warganegara semakin meningkat dan sehingga hari ini, sebanyak 70 peratus kes positif Covid-19 di Malaysia adalah melibatkan warganegara dan hanya 30 peratus bagi bukan warganegara.
“Berdasarkan nilai R-naught semasa yang berada pada paras 1.1 bagi kadar kebolehjangkitan COVID-19 di Malaysia, unjuran kes harian di negara ini dijangka boleh mencecah sehingga 5,000 kes sehari pada minggu kedua April ini dan akan melonjak kepada 8,000 kes sehari pada minggu keempat Mei.
“Semakin tinggi nilai R-naught, semakin sukar untuk mengawal penularan kerana semakin ramai yang telah dijangkiti. Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Mac telah berjaya menurunkan nilai R kepada 0.335, sekaligus mengurangkan kes jangkitan COVID-19 kepada angka satu hingga dua digit sehari,” katanya. -UTUSAN ONLINE