KUALA LUMPUR: Cubaan satu sindiket pengedaran dadah menjadikan ibu negara sebagai pusat transit sebelum bahan terlarang itu dihantar ke luar negara melalui jalan laut akhirnya tumpas.
Dalam serbuan yang dilakukan pada 15 Januari lalu, enam lelaki warga tempatan serta dadah bernilai lebih RM11 juta dirampas.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yong Lei Choo berkata, penahanan kesemua suspek dilakukan hasil enam serbuan di Lembah Klang, utara dan selatan Semenanjung bermula kira-kira pukul 3.10 petang.
“Dalam serbuan itu, enam lelaki tempatan berusia 29 hingga 58 tahun yang dipercayai terbabit dengan kegiatan berkenaan.
“Hasil serbuan itu, dadah jenis ketamin seberat 100.92 kilogram turut ditemukan di dalam sebuah kenderaan selain 59.995 kilogram ‘base’ heroin bernilai RM11 juta yang boleh dibekalkan kepada 636,375 penagih.
“Turut dirampas enam kenderaan pelbagai jenis, 21 barang kemas, dua jam tangan berjenama dan wang tunai berjumlah RM423,829 menjadikan jumlah keseluruhan sitaan RM937,329,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE