Empat suspek diburu terlibat pergaduhan restoran serah diri - Utusan Malaysia

Empat suspek diburu terlibat pergaduhan restoran serah diri

SHAMSUL AMAR RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Empat individu yang diburu bagi membantu siasatan berhubung pergaduhan di sebuah restoran di Pandamaran Ahad lalu telah ditahan polis.

Semua individu berusia 20 hingga 34 tahun itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan sejak Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, tiga individu menyerah diri pada Sabtu lalu pada 9.30 malam manakala seorang lagi semalam pukul 4.30 petang.

“Kesemua mereka yang ditahan mengaku terlibat dalam kes yang disiasat. Pemeriksaan mendapati dua daripada mereka ditahan mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan pelbagai kesalahan termasuk dadah.

“Kita turut merampas dua telefon bimbit yang dimiliki dua suspek ditahan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Shamsul Amar, tiga suspek yang ditahan kini direman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan.

“Permohonan seorang lagi individu akan dilakukan esok di Mahkamah Klang. Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya.

Terdahulu, sekumpulan samseng membuat kecoh di sebuah restoran di Pandamaran Ahad lalu untuk mengutip `ufti’ .

Pergaduhan berlaku apabila sekumpulan lelaki datang ke restoran tersebut untuk meminta wang perlindungan daripada pemiliknya.

Bagaimanapun, pemilik restoran terbabit enggan `membayar’ menyebabkan kumpulan itu memanggil lebih ramai rakannya.

Kumpulan terbabit kemudian memecahkan barang-barang di dalam restoran dan menyerang orang awam yang sedang makan. Susulan kejadian, polis menahan tujuh lelaki berusia 22 hingga 57 tahun dalam beberapa siri serbuan di sekitar Pandamaran.

Kesemua suspek dipercayai daripada kumpulan samseng dan tidak menolak kemungkinan ada penglibatan dengan kongsi gelap.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya