PASIR PUTEH: Empat nelayan bertarung nyawa berenang sejauh 13 kilometer selama kira-kira 14 jam ke Pulau Perhentian, Besut untuk menyelamatkan diri selepas bot mereka karam dipukul ombak besar petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang, bot yang sarat dengan pukat dan hasil tangkapan itu karam selepas dimasuki air laut kesan ombak besar setinggi empat meter terhasil akibat hujan dan angin kencang.
Tekong bot berkenaan, Tuan Azhar Tengku Long, 47, berkata, seorang lagi awak-awak, Ashaari Leh, 45, dipercayai berenang ke sebuah pulau berdekatan dan usaha mencari lelaki itu masih dijalankan.
Menurutnya, semua nelayan terlibat memakai jaket keselamatan ketika kejadian.
“Saya bersama Norizan Yusof, 45; Mohd. Azri Mohd. Rasdi, 28, dan anak saya, Tuan Azrizal Tuan Azhar, 17, tidak berpecah dan kami berusaha berenang sambil melawan gelora laut.
“Kami berenang dalam tempoh lebih 14 jam sebelum selamat mendarat di Pulau Perhentian pada pukul 4 pagi,” katanya ketika ditemui pemberita di Pangkalan Maritim Malaysia Kelantan di Tok Bali, di sini hari ini.
Keempat-empat mangsa tiba di Tok Bali pada pukul 1.30 petang ini dengan Kapal Maritim (KM) Amanah.
Seorang mangsa terpaksa dikejarkan ke Hospital Besut kerana sesak nafas manakala selebihnya dirawat sebagai pesakit luar.
Tuan Azhar berkata, mereka memang berhasrat untuk mencari tempat perlindungan di sekitar pulau berdekatan namun gagal kerana keadaan ombak yang tinggi dan laut bergelora.
“Syukur kami masih dipanjangkan umur dan selamat. Doakan agar sahabat kami Ashaari dalam keadaan selamat dan moga segera ditemukan.
“Ini adalah kejadian pertama sejak menjadi nelayan selama 26 tahun. Syukur kepada Allah kerana kami selamat walaupun berenang dalam tempoh yang lama amat memeritkan,” katanya.
Azhar berkata, sepanjang tempoh berendam laut, dia dan awak-awaknya hanya mampu mengucap kalimah syahadah serta reda dengan ketentuan yang ditetapkan-Nya. – UTUSAN