Empat hospital swasta setuju terima pesakit Covid-19 - Utusan Malaysia

Empat hospital swasta setuju terima pesakit Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Empat hospital swasta di negeri ini bersetuju untuk merawat pesakit Covid-19 sebagai langkah proaktif membantu Jabatan Kesihatan Negeri Melaka membendung peningkatan kes positif. 

Empat hospital tersebut ialah Hospital Pantai Ayer Keroh, Hospital Pakar Putra Melaka, Mahkota Medical Centre dan Oriental Melaka Straits Medical Centre. 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, pihak Kementerian Kesihatan (KKM) kini sedang menyiapkan kaedah dan proses yang sesuai bagi kerjasama tersebut. 

“Empat buah hospital ini telah bersetuju untuk merawat pesakit Covid di Melaka dan KKM sedang melakukan persiapan merangkumi kos rawatan dan latihan bagi hospital terlibat,” katanya di sini, hari ini. 

Tambahnya, di peringkat kerajaan negeri, beberapa hospital KKM turut dirancang untuk dijadikan hospital rawatan Covid-19 atau hibrid sepenuhnya. 

“Kita telah merancang untuk menjadikan Hospital Jasin sebagai tempat rawatan Covid-19, manakala Hospital Melaka masih dikekalkan sebagai hibrid. 

“Sekiranya jumlah pesakit di Hospital Melaka semakin ramai, kita akan menjadikan pusat rawatan hibrid sepenuhnya dan pesakit biasa akan dipindahkan ke hospital Jasin atau Alor Gajah,” katanya. 

Jelasnya, bagaimanapun, buat masa ini kapasiti di Hospital Melaka masih mencukupi berikutan pesakit-pesakit yang berisiko rendah di negeri ini telah ditempatkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps). 

Katanya, kerajaan negeri juga sentiasa bersedia untuk menambahkan jumlah PKRC sekiranya jumlah kes terus meningkat. 

Terdahulu, jumlah kes Covid-19 di negeri ini turut mencatatkan jumlah tertinggi kes baharu iaitu seramai 278 pesakit, pada 23 Januari lalu.  -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya