RANTAU PANJANG: Orang ramai yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) diingatkan supaya menjaga penjarakan fizikal bagi mengelak tercetusnya ‘kluster banjir’ Covid-19.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu antara aspek yang perlu ditambah baik dan diberi perhatian khusus oleh semua mangsa banjir di setiap PPS.
“Saya melihat aspek penjarakan fizikal perlu diberikan penambahbaikan lagi khususnya ketika orang ramai di PPS berada di luar khemah keluarga masing-masing.
“Jika dalam khemah keluarga sendiri tidak menjadi masalah kerana dari rumah yang sama,” katanya kepada pemberita selepas meninjau mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang 2 di sini hari ini.
Ismail Sabri memberitahu, setakat ini secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di semua PPS yang dilawati.
Katanya, setiap PPS yang dilawati menyediakan kelengkapan dengan baik seperti mesin pengimbas suhu, penggunaan aplikasi MySejahtera dan pematuhan kepada pemakaian pelitup muka.
“Bukan itu sahaja cara penyediaan makanan kepada mangsa banjir turut dilakukan mengikut SOP iaitu dibungkus terlebih dahulu sebelum diagihkan,” jelasnya.
Ahli Parlimen Bera itu berharap orang ramai terus mengamalkan pematuhan SOP sepanjang musim banjir memastikan rantaian Covid-19 berjaya diputuskan. – UTUSAN ONLINE