MELAKA: Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong meminta masyarakat tidak menggunakan kes gambar dan karikatur yang didakwa memaparkan elemen komunis sebagai modal untuk menggugat kemajmukan penduduk berbilang kaum di negara ini.
Kata beliau, semua pihak sebaliknya perlu menghormati dan memahami sensitiviti setiap kaum serta menolak perkara yang boleh mencetuskan provokasi terhadap mana-mana pihak.
Beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata, perkara itu termasuklah gambar-gambar atau karikatur yang boleh dikaitkan dengan sensitiviti kaum.
“Apa yang penting semua orang kena mematuhi dan memahami sensitiviti di Malaysia dan ikut peraturan.
“(Masyarakat) perlu ada komunikasi yang berkesan, saya rasa dari segi itu mungkin kita kena bincang, mungkin pada orang lain ia tidak anggap isu itu sensitif, (namun) pada orang lain pula kata sebaliknya. Jadi, kita perlu elak untuk membangkitkan isu sensitif itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pecah Tanah Pembangunan Litar Latihan dan Ujian Memandu Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia di Ayer Molek, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur negeri, Datuk Roslan Ahmad; Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Zailani Hashim.
Terdahulu, baru-baru ini dua buah restoran di Georgetown, Pulau Pinang disiasat selepas pemiliknya menghias premis tersebut dengan kertas dinding memaparkan elemen komunisme dan pemimpin komunis.
Turut diambil tindakan adalah sebuah restoran di Johor Bahru dan sebuah lagi premis perniagaan di Jonker Walk, Jalan Hang Jebat, di sini yang didakwa mempunyai unsur sama.
Dalam serbuan di premis di Jonker Walk itu, pihak polis turut merampas sebanyak 18 gambar mirip pemimpin Parti Komunis China, Mao Zedong. -UTUSAN ONLINE