Dua kes positif Covid-19, SMK Bukit Besar pula ditutup - Utusan Malaysia

Dua kes positif Covid-19, SMK Bukit Besar pula ditutup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Selepas 15 sekolah rendah di negeri ini ditutup sementara akibat Covid-19, kali ini arahan sama membabitkan sekolah menengah pula.

Penutupan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar di sini berikutan terdapat dua kes positif yang dikesan dalam kalangan guru dan pelajarnya.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, sekolah itu ditutup selama 14 hari bermula Khamis lalu hingga 10 Februari ini bagi pelaksanaan kerja-kerja nyah kuman.

“Arahan penutupan tersebut dibuat mengikut Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi mengelak penularan penyakit berjangkit,” katanya kepada pemberita hari ini.

Sehubungan itu, sesi pembelajaran secara bersemuka melibatkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sekolah berkenaan dihentikan sepanjang tempoh berkenaan.

Baru-baru ini, sebanyak 14 sekolah ditutup di Kuala Terengganu iaitu SK Sultan Sulaiman 1, SK Paloh, SK Kesom, SK Bukit Petiti, SK Pulau Manis, SK Manir, SK Tengku Ampuan Mariam, SK Kedai Buloh, SK Tok Dir, SK Pusat Kuala Ibai, SK Seri Budiman, SK Gong Tok Nasek,  SK Paya Bunga dan SK Pusat Cabang Tiga.

Manakala di Hulu Terengganu pula membabitkan SK Bukit Apit. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN