Dua bersaudara 'tokan' ditangkap - Utusan Malaysia

Dua bersaudara ‘tokan’ ditangkap

ANTARA dadah dan barangan yang dirampas dalam satu operasi di  Felda Serting Hilir, Bandar Seri Jempol, Jempol, awal pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL : Dua saudara lelaki yang baharu sahaja berjinak-jinak menjadi tokan dadah kira-kira sebulan lalu berjaya ditangkap polis dalam satu operasi di  Felda Serting Hilir, Bandar Seri Jempol, dekat sini, awal pagi tadi.

Dalam serbuan kira-kira pukul 12.05 tengah malam itu, kedua-dua suspek yang berusia 28 dan 35 tahun itu sedang duduk di stor belakang salah sebuah  rumah di Felda berkenaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook, dalam operasi berkenaan polis telah berjaya merampas tujuh peket plastik lutsinar pelbagai saiz berisi ketulan-ketulan disyaki dadah berbahaya jenis heroin seberat 109.1 gram.

Turut dirampas, sepeket plastik lutsinar berisi ketulan-ketulan jernih disyaki dadah berbahaya jenis syabu seberat 5.5 gram, satu beg berwarna hitam dan satu alat penimbang digital.

“Nilai anggaran harga runcit rampasan dadah dalam operasi ini bagi dadah jenis heroin adalah sebanyak RM4,364 dan dadah jenis syabu bernilai RM825.

“Polis turut menyita sebuah kereta waja dan sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC dipercayai digunakan oleh kedua-dua saspek,” katanya dalam kenyataan dekat sini hari ini.

Chang Hook berkata, ujian saringan awal air kencing kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis jenis methaphetamine dan AMP (amfetamina).

Menurutnya, suspek juga mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan tiada pekerjaan tetap.

“Kedua-duanya juga sudah terlibat dalam penagihan dadah selama tujuh hingga 11 tahun dan dipercayai baharu sahaja sebulan mengedar dadah.

“Suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya