PUTRAJAYA: Kementerian Alam Sekitar dan Air sedang memuktamadkan dokumen Pelan Kenderaan Elektrik yang dijangka dapat disiapkan dalam tempoh suku pertama tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pelan baharu tersebut bakal meliputi semua jenis motosikal, kereta persendirian, teksi dan kenderaan berat di seluruh negara.
“Inisiatif ini antara 10 strategi ditetapkan bagi usaha pengurangan pelepasan gas rumah hijau (GHG) untuk sektor pengangkutan dan galakan mobiliti aktif,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ia antara laporan kemas kini dwitahunan ketiga Malaysia untuk Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC) dan Pengukuhan Tadbir Urus Negara.
Laporan itu dibentangkan dalam dua kertas kerja jemaah menteri ketika mesyuarat Kabinet pada 23 Disember lalu yang segala syor dicadangkan itu dipersetujui secara sebulat suara.
Perkembangan ini meskipun tidak merujuk mana-mana pihak namun sejajar langkah dibuat Kesatuan Eropah yang mewajibkan semua kenderaan elektrik sepenuhnya menjelang 2030.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, dokumen kenderaan elektrik termasuk dalam inisiatif ketiga oleh kementerian itu bagi menyokong usaha pengurangan pelepasan karbon.
“Ia dikenali sebagai Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon selain dua lagi inisiatif iaitu Pelan Induk Bandar Rendah Karbon dan Rangka Kerja Bandar Rendah Karbon,” kata beliau.
Dua inisiatif pertama itu ujarnya, melibatkan kerjasama strategik kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan dalam perancangan pembangunan perbandaran ke arah rendah karbon.
Ini jelas beliau, merangkumi tadbir urus sektor pengangkutan, tenaga, sisa, pembuatan dan air dalam pengurangan impak alam sekitar dan pelepasan gas rumah hijau (GHG) disebabkan gas karbon dioksida.
“Selaku kementerian utama yang memacu agenda perubahan iklim negara, pelbagai tindakan mitigasi diperkukuhkan selari obligasi dan komitmen kerajaan di bawah UNFCCC,” katanya.
Jemaah Menteri ujar Tuan Ibrahim, juga bersetuju agar kementerian ini membangun dan memperkasa kerangka perundangan dan institusi perubahan iklim secara pendekatan penuh.
Keputusan Kabinet itu katanya, mencerminkan komitmen tinggi kerajaan dalam isu perubahan iklim dan memainkan peranan bersama warga sejagat ke arah pembangunan rendah karbon.
Malaysia jelasnya, melepaskan GHG sebanyak 316 juta tan karbon dioksida berdasarkan data hingga 2016 lalu dengan sektor tenaga termasuk pengangkutan paling besar iaitu 79 peratus.
“Namun pada masa sama, perubahan guna tanah dan perhutanan berjaya serap 241 juta tan karbon dioksida dan boleh ditambah baik melalui potensi baharu seperti kenderaan elektrik,” katanya.- UTUSAN ONLINE