IPOH: Mesej tular dalam media sosial yang mengaitkan peristiwa bulan mengelilingi Kaabah dengan waktu doa mustajab adalah palsu, tidak boleh dipercayai dan menyebar maklumat mengelirukan.
Ini kerana tiada sumber nas sama ada daripada al-Quran atau hadis yang meriwayatkan hal itu dengan merujuk kepada waktu bulan mengelilingi Kaabah sebagai waktu mustajab berdoa.
Jabatan Mufti Perak dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan kedudukan dan orbit bulan yang mengelilingi bumi, tidak mungkin untuk bulan mengelilingi Kaabah seperti didakwa kerana ia bercanggah dengan sunnatullah.
Menurut kenyataan itu, mesej sama telah berulang kali ditularkan setiap tahun, malah disandarkan pula kepada penceramah, pendakwah atau individu yang tidak tahu menahu akan hal tersebut.
“Cerita seumpama itu pernah dikaitkan dengan individu tertentu seperti bekas Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Datuk Mazlan Othman.
“Turut dikaitkan ialah dengan penceramah terkenal, Mufti Ismaik Menk namun telah dinafikan.
“Tahun ini ia dikaitkan pula dengan penceramah lain seperti Ustaz Abdul Somad (penceramah agama dari Indonesia) yang sebenarnya telah tular dan pernah dinafikannya pada tahun 2019,” kata kenyataan tersebut.
Antara kandungan mesej yang tular itu ialah ‘malam nanti pada pukul 3.25 pagi bulan akan mengelilingi kaabah dan langit akan berwarna biru muda, inilah saat penerimaan doa, taubat, munajat yang terjadi 100 ribu tahun sekali’.
Sehubungan itu, sebagai Muslim yang berakhlak, wajarlah orang ramai meneliti setiap kenyataan yang diterima sebelum disampaikan kepada orang lain.
Dalam kenyataan sama, Jabatan Mufti Perak berkata, kedudukan sebenar ketika ini bulan berada dalam fasa bulan penuh bersamaan fenomena bulan istimewa iaitu berada tepat di atas Kaabah.
Katanya, ia berlaku pada 16 Jamadilakhir iaitu 29 Januari pada pukul 5.43 pagi waktu Malaysia dan 12.43 pagi waktu Arab Saudi.
“Fenomena ini jarang berlaku namun ia menepati ilmu falak dan akan berulang lagi pada 15 Rabiulakhir iaitu 20 November depan.
“Ia menyamai fenomena Istiwa A’dzam ketika matahari tegak di atas Kaabah di mana kita berpeluang menyemak arah kiblat.
“Meskipun begitu, ia masih tiada kaitan dengan waktu mustajab doa sepertimana dihebohkan di media sosial,” kata kenyataan tersebut. – UTUSAN ONLINE