KEPALA BATAS: Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila bukan sahaja dilarikan, malah dipukul sekumpulan tiga lelaki di persimpangan lampu isyarat Jalan Sungai Nyior, Butterworth di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.38 petang itu, mangsa berusia 38 tahun dilihat keluar daripada kenderaan jenis Proton Wira dan menjerit meminta tolong sebelum dikejar dua suspek.
Mangsa yang berjaya ditangkap semula dimasukkan ke dalam kereta yang kemudiannya beredar ke arah Jalan Siram.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner, Noorzainy Mohd. Noor berkata, seorang saksi yang berjaya menangkap gambar berhubung kejadian terbabit tampil membuat laporan polis.
“Berdasarkan maklumat yang diperolehi, sepasukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah D9 berjaya melakukan beberapa serbuan dan berjaya menahan ketiga-tiga suspek di sebuah pangsapuri kos rendah di Mak Mandin pukul 11.30 malam.
“Mangsa turut ditemui di lokasi sama dalam keadaan berikat dan mengalami kecederaan di bahagian kepala dan lebam akibat dipukul.
“Siasatan awal mendapati, mangsa dikatakan menjalin hubungan sulit dengan isteri salah seorang suspek selain turut meminjam wang wanita terbabit sebanyak RM2,300,” katanya.
Tambah beliau, ketiga-tiga suspek akan direman hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 367 Kanun Keseksaan. – UTUSAN