MACHANG: Kehidupan Wan Ahmad Wan Junoh, 60, penuh berliku apabila kesihatannya merosot dan hanya mampu terlantar di rumah pusaka orang tuanya di Kampung Cherang, Pulai Chondong, di sini sejak berusia 15 tahun akibat penyakit sawan.
Selain serangan sawan yang bertambah serius sejak lima tahun lalu, lelaki yang tidak boleh menguruskan diri sendiri ini diuji sekali lagi apabila disahkan menghidap tibi atau batuk kering sejak dua bulan lalu.
Wan Ahmad sebelum ini dijaga kedua-dua ibu bapanya, namun, selepas mereka meninggal dunia sembilan tahun lalu, tugas itu digalas adiknya, Wan Zubaidah, 52, seorang ibu tunggal dengan bantuan anak saudara mereka, Shazarmi Mohd. Belayong.
Shazarmi, 32, berkata, dia sebelum ini merupakan seorang juruteknik elektrik di Johor Bahru, Johor namun sejak awal tahun ini, dia nekad berhenti kerja untuk menjaga Wan Ahmad, sekali gus meringankan beban ditanggung ibu saudaranya.
Menurut Shazarmi, dia secara sukarela balik ke Kelantan selepas Wan Zubaidah meminta bantuan memandangkan kudratnya sebagai wanita terbatas untuk menguruskan Wan Ahmad setiap hari seorang diri.
“Saya pernah menjaga arwah bapa yang mengalami strok, jadi, saya ada pengalaman menguruskan orang sakit serba sedikit.
“Saya sudah anggap Wan Ahmad ini seperti bapa sendiri dan saya reda terpaksa berhenti kerja demi menjaganya,” katanya kepada pemberita ketika kunjungan Kelab Kebajikan dan Sukarela (Kelss) di rumah mereka, di sini baru-baru ini.
Selepas berhenti kerja dan hilang punca pendapatan, Shazarmi terpaksa bergantung kepada ibu saudaranya yang kini bertugas sebagai pemaju masyarakat sukarela (PPMS) di sebuah taska di Kampung Panggung, di sini.
Sementara itu, Wan Zubaidah memberitahu, abangnya sebelum ini turut dijaga secara bergilir-gilir oleh adik beradik lain di Johor sebelum dia mengambil alih tugas itu selepas mereka mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga masing-masing.
“Gaji saya RM600 sebulan dan dengan wang itulah saya gunakan untuk menyara kehidupan kami termasuk anak bongsu yang masih belajar di kolej matrikulasi. Mujurlah abang mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan,” katanya.
Terdahulu ketika menziarahi keluarga itu, Kelss turut menyumbangkan bantuan berbentuk lampin pakai buang dewasa, kerusi roda, tilam angin elastik dan susu khas untuk kegunaan Wan Ahmad.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional 0111829000144224 atas nama Wan Ahmad Wan Junoh atau boleh menghubungi adiknya Wan Zubaidah di talian 01125551347. -UTUSAN ONLINE