GEORGETOWN: Kerajaan negeri Pulau Pinang digesa mendedahkan dokumen perjanjian projek tambakan laut di perairan selatan (PSR) kepada rakyat yang berhak mengetahui mengenai status sebenar projek berkenaan.
Penasihat Penang Citizen Awareness Chant Group (Chant), Yan Lee berkata, perjanjian di antara kerajaan negeri dan sebuah syarikat swasta bagi projek PSR didakwa hanya melibatkan proses tambakan bagi membentuk tiga pulau buatan di kawasan berkenaan.
Malah dakwanya, perjanjian berkenaan yang didakwa di dalam proses akhir untuk ditandatangani juga dikatakan tidak melibatkan perjanjian melaksanakan projek transit aliran ringan (LRT) Komtar-Bayan.
“Idea utama untuk menambak laut di kawasan selatan negeri ini adalah untuk membiayai pembinaan LRT yang merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Bersepadu Pulau Pinang (PTMP).
“Sekiranya perjanjian antara kerajaan negeri dan syarikat swasta berkenaan tidak merangkumi pembinaan LRT dan hanya untuk menambak laut, kami ingin bertanya adakah rakyat negeri ini akan dapat menikmati sistem pengangkutan moden berkenaan?” soalnya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Pelaksanaan PSR seluas hampir 17 kilometer persegi membabitkan projek pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut, berdekatan Bayan Lepas.
Ia adalah sebahagian projek infrastruktur dalam PTMP bernilai RM46 bilion.
Projek LRT yang merupakan salah satu komponen dalam PTMP itu dijangka siap lima hingga tujuh tahun akan datang.
Lee berkata, kerajaan negeri digesa mendedahkan dokumen perjanjian berkenaan kepada rakyat negeri ini yang berhak mengetahui mengenai status sebenar projek LRT serta PSR berkenaa..
Ini kerana katanya, projek itu merupakan projek untuk rakyat seperti yang sering dihebahkan oleh kerajaan negeri. – UTUSAN ONLINE