Dasar Manhaj Rabbani memastikan pentadbiran negara menepati prinsip Islam - Utusan Malaysia

Dasar Manhaj Rabbani memastikan pentadbiran negara menepati prinsip Islam

ZULKIFLI MOHAMAD Al-BAKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan bakal menggubal Dasar Manhaj Negara sebagai satu polisi baharu bagi memastikan segala urusan pentadbiran negara sentiasa menepati prinsip-prinsip Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut bersetuju diwujudkan dasar itu dalam masa terdekat.

“Dasar ini bersifat komprehensif, praktikal dan mudah untuk difahami oleh semua lapisan umat Islam termasuk masyarakat bukan Muslim sendiri,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau berucap dalam Majlis Perhimpunan Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama dan kemudian melancarkan Integrasi Maqasid Syariah (i-MaqSD).

Mengulas lanjut beliau berkata, Dasar Manhaj Negara merupakan sebuah gagasan yang bakal menjadi hala tuju bersama dalam usaha memacu pentadbiran Islam di Malaysia.

Konsep itu ujar Zulkifli, hasil penelitian dan perbincangan dengan pakar selain memohon petunjuk Ilahi, dirangka untuk senang diterjemahkan di setiap peringkat komuniti dan organisasi.

“Inilah sebaik-baik dasar yang perlu kita kembalikan buat ummah dan seluruh rakyat, dalam kekalutan dunia bergelut pandemik Covid-19, pelbagai isu juga menghimpit kita,” jelasnya.

Manhaj itu tegasnya, selari kedudukan Malaysia sebagai negara Islam yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan diperkukuhkan menerusi prinsip pertama Rukun Negara.

Inisiatif ini selaras titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika pembukaan persidangan Parlimen pada tahun lalu apabila Seri Paduka Baginda meletakkan Maqasid Syariah sebagai pemacu pentadbiran Islam.

Katanya, teras dasar itu ialah Maqasid Insaniyyah Rabbaniyyah dengan tahap pencapaiannya boleh diukur menerusi aplikasi i-MaqSD di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Saya ingin memaklumkan, berdasarkan projek perintis dilaksanakan oleh Bahagian Maqasid Syariah Jakim, tahap pencapaian keseluruhan i-MaqSD pada 2020 ialah 86 peratus,” katanya.

Penjelasan pelan tindakan berhubung dasar itu akan diperincikan Jakim selain diintegrasikan dengan 17 Matlamat Pembangunan Mampan Agenda 2030 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Jemaah Kabinet dalam mesyuaratnya tahun lepas turut mengesahkan projek itu dirintis oleh Jabatan Perdana Menteri sebelum diperluaskan kepada semua kementerian dan agensi lain. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya