Darurat: pembangkang belum serah nama anggotai jawatan kuasa khas bebas - Utusan Malaysia

Darurat: pembangkang belum serah nama anggotai jawatan kuasa khas bebas

TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pembangkang dimaklumkan supaya mengemukakan tiga nama ahli Parlimennya bagi menganggotai sebuah jawatan kuasa khas bebas untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan pelaksanaan darurat di seluruh negara sehingga 1 Ogos ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, sehingga kini, beliau masih belum menerima senarai berkenaan walaupun sudah meminta Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berbuat demikian.

“Saya belum terima lagi dan sepatutnya memang saya yang kena menerima. Setakat hari ini, tidak ada satu nama yang dikemukakan lagi oleh beliau.

“Di pihak kerajaan, kita sudah ada nama-nama. Kerajaan setuju membentuk jawatankuasa ini dan akan dilantik oleh Seri Paduka Baginda seorang pengerusi dan sejumlah bilangan ahli yang mewakili pelbagai pihak.

“Kerajaan setuju mengemukakan sejumlah bilangan mewakili ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang,” katanya dalam program Bicara Naratif: Proklamasi Darurat Dalam Perlembagaan terbitan RTM di sini, malam ini.

Petang tadi, kerajaan semasa Sidang Darurat Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersama Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bebas dikenali sebagai Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat bagi memastikan pengurusan darurat di seluruh negara berjalan lancar.

Jawatankuasa itu akan dipengerusikan secara bersama oleh Takiyuddin dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali.

12 Januari lalu, Seri Paduka Baginda berkenan supaya Pengisytiharan Darurat dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala pandemik Covid-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan Seri Paduka Baginda turut memberi perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat ini sehingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika jumlah kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, bekas Ketua Hakim Negara, bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT) serta bekas Ketua Polis Negara (KPN) adalah antara individu yang bakal dilantik menganggotai jawatan kuasa khas berkenaan selain mereka yang terdiri daripada beberapa tokoh dalam bidang keselamatan, pertahanan, badan bukan kerajaan (NGO) serta aktivis sosial sudah dinamakan oleh kerajaan untuk diperkenan dan dilantik oleh Seri Paduka.

Katanya, penubuhan jawatankuasa khas itu menunjukkan bahawa kerajaan amat berhasrat supaya pelaksanaan darurat ini dilihat secara telus.

“Saya juga perlu menyatakan bahawa jawatankuasa ini adalah cadangan dari Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan kerajaan sendiri kepada Agong dan apabila dikemukakan ini, Seri Paduka bersetuju dan memberi perkenan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya