Dapat `kejutan’ ketika sambut hari jadi - Utusan Malaysia

Dapat `kejutan’ ketika sambut hari jadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Keseronokan sembilan tokan dadah berpesta meraikan sambutan hari jadi bertukar kecoh apabila kesemua mereka dicekup sepasukan polis dalam serbuan di sebuah apartmen di Taman Kota Laksamana, di sini, hari ini.

Dalam serbuan kira-kira pukul 3 petang itu, kesemua suspek termasuk seorang wanita berusia antara 18 hingga 25 tahun ditahan sedang khayal.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka, Superintendan E. Sundra Rajan berkata, terdahulu tujuan serbuan itu dilakukan bagi menumpaskan sindiket penipuan pelaburan.

Jelasnya, pemeriksaan oleh sepasukan unit risikan dan operasi JSJK di lokasi bagaimanapun tidak menjumpai sebarang petunjuk berkaitan kegiatan itu, sebaliknya menemukan tiga plastik lutsinar dipercayai mengandungi dadah disyaki jenis ketamin seberat 55 gram.

“Tujuan asal serbuan itu adalah bagi mematahkan sindiket penipuan pelaburan, namun apabila tiba di premis tersebut pasukan kita menjumpai dadah disyaki ketamin yang disorok di bawah katil di sebuah bilik.

“Susulan itu, sembilan individu yang berada di dalam premis dan dipercayai merupakan tokan dadah telah ditahan bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, hasil soal siasat mendapati premis tersebut merupakan sebuah rumah inap yang disewa suspek bagi meraikan hari jadi salah seorang daripada mereka.

“Saringan ujian air kencing kesemua mereka turut didapati positif dadah jenis ketamin.

“Kesemua mereka kini ditahan mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati jika sabit kesalahan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya