PUTRAJAYA: ‘Damailah di sana wahai suamiku’.
Demikian catatan di Facebook Asilah Alqarny mengenai suaminya Allahyarham Dr. Ali Noor Hassan, petugas kesihatan yang tular selepas dikatakan meninggal dunia kerana kepenatan bertugas melawan Covid-19.
Bagaimanapun Asilah mengesahkan pemergian arwah suaminya itu kerana penyakit ‘acute respiratory distress’ di Hospital Kuala Lumpur.
“Tiba tiba banyak dapat request friend sebab dah viral. Ramainya yang doakan arwah suami. Beribu-ribu orang share dan doakan dia. Alhamdulillah. Cuma maklumat kurang tepat sebab kematian,” tulisnya.
Asilah berkata, suaminya itu sememangnya banyak terlibat dengan aktiviti jemaah tabligh selain banyak bersedekah dan merawat pesakit secara percuma.
Katanya, semasa menyertai ijtimak tabligh, beliau memeriksa pesakit secara percuma selain tidak ‘berkira’ dengan kawan-kawan.
Asilah turut menceritakan, semasa hayat, suaminya sering berbakti dan memuliakan ibu.
Malah katanya, beliau akan membeli lauk yang sama untuk keluarga dan ibunya.
“Mak nak ke klinik atau rawatan memang dia akan usahakan cuti untuk berkhidmat kepada mak dia.
“Sehingga mak dia didiagnos lung cancer pada Ogos 2018 sanggup ambil cuti separuh gaji untuk jaga emak dia. Sehingga ke akhir hayat mak dia di IKN (Institut Kanser Negara), dia antara yang ajarkan mak kalimah syahadah. Damailah di sana wahai suamiku,” katanya.
Semalam, Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) berkongsi gambar terakhir Dr. Ali Noor yang sempat diambil rakannya sebelum beliau jatuh sakit kerana beban kerja terlalu penat dan letih selain kekurangan masa untuk beristirehat selepas bertugas di barisan hadapan menangani Covid-19.
SPJM mendakwa beliau tertidur ketika bertugas dan pengsan.
Sementara itu Kementerian Kesihatan meminta mana-mana pihak agar tidak membuat spekulasi berhubung kes kematian arwah sebagai menghormati jenazah serta ahli keluarganya.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, ujian Covid-19 yang dilaksanakan ke atas Allahyarham adalah negatif dan telah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur sejak awal Disember tahun lalu disebabkan penyakit lain dan telah menjalani beberapa sesi rawatan. – UTUSAN ONLINE