MELAKA: Seorang pemandu bas ekspres yang hilang punca pendapatan apabila majikannya memberi cuti tanpa gaji sejak Ogos lalu nekad menjual air tebu dan goreng pisang demi menampung kehidupan hariannya.
Dia yang sudah menjadi pemandu bas sejak 16 tahun dari Melaka ke Kuala Lumpur terpaksa mengambil keputusan berniaga kecil-kecilan apabila menyedari majikannya tidak ada pilihan terpaksa memberhentikan sementara perkhidmatan bas ekspres sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 13 Januari lalu.
Shahrizan Mohd. Noor, 44, berkata, dia mengambil keputusan untuk menjual air tebu dan pisang goreng dibantu isterinya di hadapan rumah mereka di Kampung Pulai, Serkam di sini memandangkan tidak ada peluang pekerjaan sepanjang tempoh PKP.
“Sumber pendapatan tetap sudah tiada lagi buat masa ini, isteri pula tidak bekerja dan perlu menanggung tiga anak berusia antara lapan hingga 16 tahun yang kesemua bersekolah. Hanya menjual air tebu dan pisang goreng menjadi punca pendapatan saya sekarang.
“Walaupun berniaga di depan rumah, setakat ini saya lega, dapatlah beli barang keperluan harian. Pendapatan ini juga bolehlah beli sikit-sikit barang keperluan sekolah tiga anak saya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Kata Shahrizan, semangatnya tidak pernah luntur apabila majikannya memberi cuti rehat untuk satu tempoh yang panjang dan akan kembali bekerja semula apabila penularan wabak Covid-19 berakhir nanti.
Ujarnya, walaupun jualan hariannya tidak sebanyak mana tetapi dia bersyukur setiap hari air tebu habis dijual dan hasilnya cukup untuk menampung perbelanjaan harian, makan dan minum khususnya buat tiga anak.
“Hendak hidup senang menjual air tebu tidak pernah saya terfikir. Apa yang lebih penting dalam situasi PKP ini hasil pendapatan sudah boleh menyara keluarga saya dan ini sudah mencukupi,” ujarnya yang berniaga dari pukul 10 pagi hingga 6 petang. – UTUSAN ONLINE