Calon SPM maut rempuh motosikal rakan - Utusan Malaysia

Calon SPM maut rempuh motosikal rakan

KEADAAN motosikal Yamaha 135LC yang ditunggang Muhammad Fakhrul Izad Mohd. Shukri selepas terlibat kemalangan di Jalan Dungun-Seberang Pintasan, berhampiran Jambatan Seberang Pintasan, di Dungun petang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut manakala rakannya cedera parah selepas motosikal mereka kemalangan dengan motosikal lain di Jalan Dungun-Seberang Pintasan, berhampiran Jambatan Seberang Pintasan, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, Muhammad Fakhrul Izad Mohd. Shukri, 18, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Agama Sultan Ismail meninggal dunia di lokasi kejadian.

Rakannya, Muhammad Al Afiq Haikal Muhammad Al Bakri, 17, yang membonceng motosikal Yamaha 135LC itu pula parah.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Baharudin Abdullah berkata, motosikal ditunggang Muhammad Fakhrul Izad yang dari arah Dungun ke Kampung Seberang Pintasan itu dikatakan hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang motosikal milik rakannya yang lain.

“Mangsa melanggar motosikal jenis Yamaha Ego Solariz milik rakannya yang lain, bagaimanapun, penunggang dan pembonceng motosikal itu hanya cedera ringan,” katanya di sini hari ini.

Baharudin berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut manakala mangsa yang cedera turut dihantar ke hospital sama untuk menerima rawatan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya