Budaya desak presiden berundur boleh jadi barah - Utusan Malaysia

Budaya desak presiden berundur boleh jadi barah

Abd. Rahman Bakri
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Perbuatan mendesak Presiden UMNO, Datuk Dr. Ahmad Zahid Hamidi berundur dilihat satu budaya yang tidak elok dan boleh menjadi barah dalam parti yang akhirnya akan melemahkan parti itu sendiri.

Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Dr. Abd. Rahman Bakri berkata, pihaknya kesal apabila budaya desak-mendesak daripada kepimpinan pemuda dan juga ketua bahagian semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini seolah-olah ia satu budaya atau trend baharu dalam UMNO.

“Saya nampak budaya ini tidak elok dan boleh menjadi barah dalam parti, perlu diingat perbuatan tersebut boleh melemahkan parti secara senyap-senyap.

“Ketika negara dilanda pandemik Covid-19, adalah lebih baik kita tumpukan kerja untuk menguatkan parti serta membantu rakyat yang dalam kesusahan akibat bencana alam dan juga Covid-19,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan desakan daripada kepimpinan pemuda bahagian dan negeri, termasuk Ketua UMNO Bahagian agar Ahmad Zahid melepaskan jawatan sebagai Presiden parti.

Terbaharu Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Ahmad Tajuddin Sulaiman melabelkan kelemahan kepimpinan Ahmad Zahid, ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan ahli-ahli Parlimen parti Melayu itu kini hilang hala tuju.

Mengulas lanjut Abd. Rahman yang juga Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam berkata, tindakan beberapa pihak yang membuat desakan juga dilihat bertentangan dengan perlembagaan dan peraturan parti itu sendiri.

“Sebagai ahli parti yang setia, kita haruslah mengikut apa yang digariskan dalam perlembagaan dan peraturan parti. Institusi presiden adalah hierarki tertinggi parti.

“Bagi saya biarlah beliau (Ahmad Zahid) menjalankan tugasnya sehingga tempoh penggalnya berakhir, ahli parti tidak perlu bimbang kerana mereka boleh memilih sesiapa sahaja calon untuk diangkat sebagai presiden pada pemilihan akan datang,” katanya.

Tambahnya, ahli parti juga perlu menyokong sesiapa sahaja calon yang menang sebagai presiden manakala calon yang kalah pula harus menerimanya dengan hati yang terbuka kerana ia adalah suara majoriti. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN