BUTTERWORTH: Mula-mula peroleh pulangan, tak sedar itu satu perangkap.
Demikian dihadapi seorang kerani wanita sebuah syarikat swasta di sini selepas rugi RM14,421 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan skim pelaburan tidak wujud.
Mangsa berusia 25 tahun itu mula terjerat dalam sindiket berkenaan selepas berkenalan dengan seorang individu melalui aplikasi WeChat baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, kenalan maya mangsa itu menawarkannya menyertai pelaburan yang menjanjikan pulangan berganda dengan meminta mangsa memuat turun aplikasi di telefon pintar.
Jelas beliau, mangsa tertarik dengan pelaburan itu kerana ditawarkan pulangan antara RM250 hingga RM300 sehari.
Katanya, mangsa memperoleh pulangan daripada pelaburan awal dan disebabkan itu dia berminat meneruskan pelaburan tanpa menyedari suspek sedang menjeratnya.
“Mangsa telah diminta membuat bayaran tambahan untuk mengeluarkan pulangan pelaburan selepas suspek memberi alasan hasil pelaburan di dalam akaunnya dikatakan dibekukan.
“Mangsa yang teruja membuat sepuluh transaksi pemindahan wang ke dalam tiga akaun berjumlah RM14,421 antara Khamis hingga Ahad lalu sebelum menyedari ditipu,” katanya.
Menurut Noorzainy, siasatan mendapati mangsa menggunakan wang simpanan miliknya bagi pelaburan itu selain sebahagiannya dipinjam daripada beberapa kenalan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE