TANJUNG MALIM: Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River menjalankan khidmat khas membantu mengepam air banjir di rumah penduduk di Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Kampung Balun dekat Slim River di sini hari ini.
Ishak Razali, 67, berkata, dia terpaksa meminta bantuan bomba untuk mengepam air banjir atau ‘banjir termenung’ di rumahnya yang mengambil masa kira-kira seminggu untuk surut sepenuhnya.
Katanya, semasa banjir pada Ahad lalu, rumahnya yang terletak bersebelahan lombong dinaiki air setinggi lebih 1.2 meter.
“Sejak saya berpindah ke sini awal tahun lalu, ini adalah kejadian banjir kedua namun banjir kali ini paling teruk. Biasanya air hanya naik pada paras lutut.
“Rumah ini terletak hampir dengan lombong dan jika hujan lebat, air akan masuk di sini dahulu namun menjadi rumah terakhir yang air banjirnya surut.
“Dengan keadaan lokasi rumah ini, air banjir memang lambat kering dan boleh mengambil masa berhari-hari untuk surut,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.
Menurutnya, semua peralatan rumahnya rosak dan tidak boleh digunakan lagi ekoran terendam banjir.
“Ini pun kita minta bantuan bomba untuk keluarkan air dari dalam rumah barulah kerja-kerja mencuci dan mengemas boleh dijalankan,” katanya.
Sementara itu, Ketua BBP Slim River, Mohd. Fazrul Azuan Norman berkata, pihaknya mengambil masa lebih empat jam membantu membersihkan rumah penduduk yang terjejas banjir.
Katanya, air banjir dipam keluar dari rumah penduduk menggunakan ‘portable pump’ sehingga kering.
“Kawasan di sebelah rumah ini adalah lombong jadi air banjir tidak boleh mengalir keluar. Kita bantu mengepam keluar air banjir dan kerja-kerja tersebut mengambil masa kira-kira empat jam,” katanya. – UTUSAN ONLINE