JOHOR BAHRU: Unit Pemusnah Bom (UPB), Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor memusnahkan sebutir bom tangan yang dilaporkan orang awam di tepi Jalan Kemuliaan 1, Taman Universiti, Skudai, di sini.
Tindakan pantas itu berjaya mengelak kejadian tidak diingini melibatkan bom lama Unexplode Ordance UXO jenis Hand Grenade PRB 36.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid berkata, polis menerima laporan mengenai perkara itu kira-kira pukul 11 pagi.
“Selepas melakukan siasatan, polis menemukan sebutir bom tangan lama jenis Hand Grenade PRB 36 di pangkal sebatang pokok di tepi jalan.
“UPB bertindak memusnahkan bom berkenaan di lokasi penemuan dengan menggunakan teknik ‘high order’ melalui kaedah elektrik,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Rupiah berkata, pemusnahan dilakukan dengan teliti tanpa sebarang kerosakan harta benda atau melibatkan nyawa.
Beliau turut meminta orang ramai yang menjumpai objek mencurigakan atau dipercayai bom untuk melapor segera kepada mana-mana balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.
“Diingatkan juga supaya jangan cuba usik, alih atau gerakkan objek tersebut bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku,” katanya. – UTUSAN ONLINE