PETALING JAYA: Syarikat perkhidmatan perbandingan insurans kereta, Bjak.my melancarkan tabung Bjak Kasih bermula 15 Januari ini dengan sasaran kutipan RM1 juta bagi membantu mangsa banjir di beberapa buah negeri terjejas.
Pegawai Perhubungan Korporat Bjak.my, Amierul Nasir berkata, pihaknya mengambil inisiatif tersebut selepas melihat situasi banjir yang semakin kritikal khususnya di Pahang, Johor dan Terengganu sejak penghujung tahun lalu.
“Banjir pada kali ini teruk, sama seperti pada tahun 2014 lalu lebih-lebih lagi apabila ia telah meragut nyawa beberapa individu dalam sekelip mata. Ia sememangnya memilukan apatah lagi kini kita juga sedang berdepan dengan pandemik Covid-19.
“Kami yakin, setiap rakyat Malaysia pada ketika ini bersimpati dengan nasib mangsa-mangsa banjir ini dan cuba menghulurkan bantuan kepada mereka semampu yang boleh. Justeru, kami menubuhkan tabung ini untuk mengajak dan memudahkan rakyat Malaysia bersama-sama menderma bagi membantu mangsa di luar sana,” katanya dalam kenyataan.
Amierul berkata, pelanggan Bjak.my boleh menyalurkan sumbangan bermula 15 Januari hingga 11.59 malam pada 31 Januari dengan memperbaharui insurans kereta di platform Bjak.my.
“Bagi setiap ringgit yang disumbangkan oleh pelanggan Bjak.my, syarikat kami akan menggandakan dengan jumlah yang sama.
“Strategi kami berbeza dengan yang lain kerana kami bukan sahaja membantu mangsa banjir dengan menderma, malah menggalakkan pelanggan kami untuk berbuat yang sama. Ia secara tidak langsung dapat meningkatkan lagi hasil kutipan derma,” katanya.
Katanya lagi, hasil sumbangan wang akan disalurkan kepada mangsa banjir pada kadar segera kira-kira pertengahan Februari.
Diasaskan pada 2019, Bjak.my memiliki lebih 3 juta pengguna berdaftar dan diiktiraf sebagai peneraju kepada saluran perbaharui insurans atas talian.
Untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai perbandingan insurans, layari Bjak.my di https://bjak.my.