Bilangan gelandangan meningkat di Johor? - Utusan Malaysia

Bilangan gelandangan meningkat di Johor?

MOHD. Hairi Mad Shah (kanan) berkongsi gambar ketika beliau meninjau keadaan mereka yang tinggal di kaki lima di sekitar pusat bandar di Johor Bahru.-UTUSAN/MOHAMAD FAIZAL HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pergerakan Pemuda UMNO Johor Bahru bimbang berkaitan jumlah gelandangan di negeri itu meningkat disebabkan kesan ekonomi ekoran pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua.

Ketuanya, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, jika pada Julai tahun lepas angka golongan yang tiada tempat tinggal di Johor meletakkan negeri itu berada di tangga kedua dan tidak mustahil jumlah itu boleh meningkat.

Beliau berkata, isu gelandangan tidak harus dipandang mudah dan perlu mencari jalan penyelesaian dengan sebaiknya.

“Dalam kenyataan saya yang lepas, Johor mencatatkan tangga kedua jumlah gelandangan tertinggi iaitu 20 peratus daripada hampir 2,000 gelandangan. Ini angka pada Julai lalu, ketika pasca PKP pertama.

“Saya yakin dan percaya jumlah itu meningkat sekali ganda, bahkan mungkin lebih. Ini bukan main-main atau sembang kosong, ini adalah fakta,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohd. Hairi turut berkongsi kisahnya ketika melakukan tinjauan di pusat bandar Johor Bahru yang mendapati masih ramai yang tidur beralaskan kotak di kaki lima di bandar raya itu.

Katanya, lebih menyedihkan apabila ternampak seorang ibu bersama beberapa anak kecil yang turut tinggal di jalanan akibat kesempitan hidup yang dialami.

Tambahnya, dia memohon semua pihak dapat memikirkan jalan yang terbaik dalam menangani isu tersebut yang semakin meruncing.

“Malam tadi saya tergerak untuk memantau dan membuat tinjauan bagi melihat lebih dekat bagaimana kelompok mereka yang terkesan ini bergelut ketika musim pandemik Covid-19.

“Sayu dan tersentuh hati apabila melihat seorang ibu bersama beberapa anak kecil yang tinggal di kaki lima. Mereka bukan minta nasib begini tetapi ketentuan dan ketetapan ditakdirkan buat mereka.

“Jadi, saya mohon pihak-pihak luar tidak kira swasta dan agensi berkaitan dapat bergabung memikirkan dan sama-sama menangani isu ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya