KEPALA BATAS: UMNO Bahagian Kepala Batas mengambil pendirian untuk berkecuali daripada menyatakan sokongan terhadap keputusan Badan Perhubungan UMNO negeri yang enggan menjalin kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.
Ketuanya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ini kerana beliau tidak mempunyai kuasa untuk menyokong atau menolak kerjasama tersebut buat masa ini.
“Soal nak bekerjasama dengan Bersatu atau tidak, ‘I am party man‘ (saya hanyalah ahli parti).
“Ini merupakan hak parti untuk tentukan dan dalam hal ini, biarlah ia ditentukan di peringkat Majlis Kerja Tertinggi nanti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kepala Batas di sini hari ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Mertajam sebelum itu memutuskan untuk menolak kerjasama dengan Bersatu.
Keputusan itu dibuat selepas majoriti daripada 13 bahagian UMNO negeri ini membawa usul tersebut dalam mesyuarat perwakilan bahagian masing-masing yang selesai hari ini.
Mengulas lanjut, kata Reezal Meerican, kenyataan Musa itu dibuat berdasarkan pengalamannya sebagai Ketua Badan Perhubungan UMNO negeri yang juga mempunyai pengalaman di peringkat bahagian dan sebagainya.
Bagaimanapun, katanya, UMNO Bahagian Kepala Batas akan menyokong apa jua usul yang menolak sebarang usaha yang membolehkan Pakatan Harapan (PH) kembali memegang tampuk pemerintahan negara.
“Tempoh 22 bulan yang dilalui oleh rakyat di bawah PH telah meninggalkan kesan yang amat dalam terhadap kehidupan mereka dan mereka tidak mahu perkara tersebut berulang,” ujarnya.
Tambah beliau, pada masa yang sama juga, UMNO Bahagian Kepala Batas berikrar untuk terus menjadi kubu kuat kepada Barisan Nasional (BN) di Pulau Pinang. -UTUSAN ONLINE