Berbumbungkan payung demi liputan internet - Utusan Malaysia

Berbumbungkan payung demi liputan internet

HANIZA (kiri) sedang mempersiapkan Dhiya mengikuti kelas Pendidikan Jasmani di luar rumahnya di Seksyen 30, Shah Alam, Selangor hari ini-UTUSAN/MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kebiasaannya kita berada dalam rumah untuk belajar, tetapi, berbeza dengan Dhiya Hannah Mirza Umi Azilani yang terpaksa duduk di luar rumah dengan hanya berbumbungkan payung semata-mata untuk mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). 

Menurut murid darjah empat Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Rimau itu, sejak sesi persekolahan bermula dua minggu lalu, dia belajar di luar rumah dan hal itu menjadi rutin hariannya selama lima hari seminggu bermula pukul 9 pagi.

“Setiap pagi sebelum memulakan kelas internet perlahan dan kadang-kadang apabila sedang bercakap tersekat dan tidak nampak muka cikgu.

“Ibu terpaksa memasang meja di luar dan menggunakan payung kerana kelas habis pada pukul 4 petang serta supaya saya boleh ikuti kelas,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Seksyen 30 di sini hari ini. 

Dalam pada itu, ibu murid terbabit, Haniza Abdul Majid, 38, berkata, dia akan menemankan anak keduanya itu di luar rumah sepanjang kelas berlangsung atas faktor keselamatan. 

Menurut ibu kepada tiga anak itu, capaian internet yang lemah di kawasan rumahnya berlaku sejak 10 tahun lalu dan bertambah buruk sekiranya waktu hujan sehingga mengakibatkan anaknya tidak boleh mengikuti kelas dalam talian.

“Awal pagi capaian internet baik tetapi menjadi lemah bermula pukul 9 pagi. Dhiya selalu membandingkan nasibnya dengan rakan sekelasnya yang mampu mengikuti PdPR di bilik mereka sahaja. 

“Namun, saya sering menasihatkannya supaya sentiasa bersyukur dan jangan membandingkan nasibnya dengan orang lain serta berusaha sedaya yang mampu,” ujarnya.

Tambah suri rumah itu, syarikat bertanggungjawab telah hadir ke rumahnya untuk memasang kabel jalur lebar di sekitar luar rumah setelah beberapa kali membuat aduan kepada pihak tersebut.

“Namun, sehingga kini capaian internet masih sama dan mereka memaklumkan akan baik dalam tiga hari.

“Saya berharap pemasangan kabel tersebut dapat membantu anaknya menjalani PdPR dengan lebih lancar selepas ini,” kata suri rumah itu. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya