PETALING JAYA: Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Tan Sri Sharizat Abdul Jalil gesa agar masyarakat sekeliling lebih prihatin dan berani untuk melaporkan kes penderaan.
Dalam kenyataan itu, Sharizat menegaskan tragedi sedemikian tidak harus dibiarkan berulang lagi pada masa hadapan.
“Jangan kita ahli keluarga mahupun masyarakat setempat diam membisu apabila kita nampak ada tanda-tanda penderaan terutama ke atas kanak kanak kerana mereka adalah golongan yang lemah dan patut dibantu.
“Setidaknya boleh maklum kepada mana-mana Jabatan Kebajikan Masyarakat, pihak polis atau pemimpin kawasan tersebut. Apa pun tragedi seperti ini tidak boleh dibiarkan berulang,” katanya dalam catatan di akaun Instagram.
Baru-baru ini, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki, Zubaidi Amir Qushairi Malik, 7, maut dipercayai didera ibu kandung dan bapa tirinya di rumah di Taman Krubong Jaya.
Dalam kejadian itu, mangsa ditemukan lemas dalam tong air di rumah berkenaan dengan beberapa kesan kecederaan di beberapa bahagian badan.
Sharizat menegaskan siasatan kes penderaan itu harus dijalankan secepat mungkin bagi menegakkan keadilan.
“Saya harap siasatan kes penderaan yang kejam sehingga membawa maut ke atas kanak kanak ini di percepatkan. Sesiapa yang bertanggungjawab mesti diadili tidak kira ibu ke bapa tiri ke atau sesiapa.
“Apa yang sebenarnya berlaku sehingga boleh membawa maut seperti ini. Setiap kehidupan sangat berharga,” katanya. – UTUSAN