Bena perang serang padi di Kampung Dulang Besar, Yan

Bena perang serang padi di Yan

MOHD. Johar Ismail menunjukkan padi yang rosak akibat bena perang di Kampung Dulang Besar, Yan, Kedah semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Kebanyakan pesawah Kampung Dulang Besar di sini kerugian pada musim ini apabila pokok padi mereka diserang penyakit bena perang atau ‘bom’ sejak awal bulan ini.

Serangan penyakit tersebut mudah merebak dan sekiranya tidak dikawal boleh merebak ke kawasan berdekatan seperti Kuala Sungai Daun, Kuala Sungai Limau, Sungai Tongkang, Sungai Kering dan Kuala Sedaka.

Seorang petani, Mohd. Johar Ismail, 75, dari Kampung Dulang Besar berkata, sebahagian pokok padi yang ditanam beberapa bulan lepas kini kering dengan biji padi pula tidak berisi.

Menurutnya, pendapatan petani kali ini terjejas teruk apabila hasil padi tidak dapat dijual kerana rosak diserang penyakit tersebut.

“Setiap musim, saya boleh memperoleh pendapatan lebih RM10,000 tetapi pada musim ini pendapatan saya dan pesawah-pesawah lain merosot,” katanya di sini hari ini.

Bena perang (Nilaparvata lugens) adalah serangga perosak utama tanaman padi. Walaupun bersaiz kecil, bena perang menghisap cairan pokok daripada tisu-tisu pembekal air dan makanan sehingga menyebabkan tanaman padi rosak.

Mohd. Johar berkata, dia telah membuat laporan kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Jalan Guar Cempedak di sini untuk mengawal penyakit tersebut daripada merebak ke kawasan lain.

Seorang lagi pesawah, Ismail Cha, 69, pula berkata, serangan bena perang itu telah merosakkan padinya seluas kira-kira 0.52 hektar di kampung ini.

Menurut, sebelum ini, dia menggunakan racun dan baja seperti yang dinasihatkan agensi pertanian, namun tetap diserang penyakit bena perang.

Katanya, serangan penyakit itu dikesan ke atas pokok padi yang berusia kira-kira 20 hari dan cepat merebak ke kawasan tanaman padi lain.

“Pesawah merayu kepada pihak-pihak terlibat tampil menghulur bantuan untuk meringankan beban pesawah yang hilang punca pendapatan,” rayu Ismail.

Seorang lagi pesawah, Romli Hashim, 60, berkata, dia mengharapkan pihak yang berkenaan dapat menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca penyakit tersebut menyerang kawasan sawah di sini

“Langkah tersebut perlu untuk mengelakkan serangan penyakit itu tidak berulang pada musim akan datang,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya