MERSING: Polis daerah ini belum mendapat pengesahan daripada Polis Pahang berhubung dakwaan penemuan mayat di Sungai Endau, di sini merupakan mangsa banjir dari negeri itu.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edrward Nuing berkata, mayat itu ditemukan terapung berhampiran Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Endau pada pukul 11.40 pagi ini.
Menurutnya, siasatan sedang dijalankan untuk mengetahui punca kematian dan butir-butir mangsa memandangkan tiada sebarang dokumen atau pengenalan diri ditemukan bersama mayat itu.
“Kita juga masih belum dapat pengesahan daripada Polis Pahang berkenaan andaian orang awam yang mendakwa mayat berkenaan adalah mangsa banjir dari negeri itu.
“Mayat lelaki dewasa itu dihantar ke Hospital Mersing untuk proses bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba Penyelamat (BBP) Endau, Mohd. Alias Hussin berkata, seramai tujuh anggota dan sebuah jentera dihantar ke lokasi kejadian bagi memberikan khidmat bantuan.
“Ketika tiba di lokasi, mayat seorang lelaki dewasa telah berada di tebing sungai dan memerlukan bantuan pihak bomba untuk dibawa naik dari tebing ke jentera polis.
“Pasukan operasi mengangkat mangsa dengan menggunakan satu unit siling hook dan stretcher serta menyerah mangsa kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya yang memaklumkan operasi ditamatkan pada pukul 12.53 tengah hari. – UTUSAN ONLINE