Belum ada keputusan pembangunan lot tanah masjid Ayer Itam - Utusan Malaysia

Belum ada keputusan pembangunan lot tanah masjid Ayer Itam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kerajaan negeri Pulau Pinang belum membuat keputusan mengenai pembangunan lot tanah yang terletak bersebelahan Masjid Bandar Baru Ayer Itam di sini. 

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ir. Ahmad Zakiyuddin Abd. Rahman berkata, pihaknya masih memerlukan masa untuk meneliti permohonan yang dibuat beberapa pihak untuk membangunkan tapak tanah tersebut. 

Menurut beliau, pihaknya akan mempertimbang semua permohonan yang dibuat dan sebarang keputusan mengenainya kelak perlu mengambil kira kepentingan semua pihak khususnya rakyat. 

“Buat masa sekarang kita belum mencapai keputusan untuk menyerahkan lot tanah itu kepada mana-mana pihak sebab ada perkara yang perlu dipertimbangkan selanjutnya. 

“Cuma, setakat ini, apa yang kita luluskan adalah permohonan milikan tanah lot yang telah dibina masjid dan sebahagian lot tanah yang digunakan sebagai tempat letak kereta masjid,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. 

Sebelum ini, ahli kariah Masjid Bandar Baru Ayer Itam melahirkan rasa kecewa selepas mendakwa permohonan mereka untuk dibina sekolah agama rakyat di atas tanah seluas kira-kira 1.9 hektar bersebelahan masjid itu sejak lebih 10 tahun lalu didakwa tidak mendapat maklum balas. 

Dalam masa sama, lot tanah itu turut dipohon dua pihak lain iaitu bagi pembinaan bangunan sekolah jenis kebangsaan Tamil serta pembesaran taman awam oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP). 

Sementara itu, ditanya bila keputusan mengenai pembangunan lot tanah itu dapat dimuktamadkan, Ahmad Zakiyuddin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata, pihaknya menjangkakan dapat membuat keputusan mengenainya tahun ini. 

“Memandangakn ada kepentingan tiga pihak berhubung pembangunan tanah ini, maka kita memerlukan lebih banyak maklumat sebelum membuat keputusan kerana setiap pihak ada keperluan yang kita harus lihat,” katanya.  -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya