KOTA BHARU: Sebanyak 83 individu dikompaun kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tiga hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di negeri ini.
Daripada jumlah tersebut, Kota Bharu merekodkan jumlah tertinggi individu yang dikenakan kompaun diikuti Gua Musang dan Pasir Puteh.
Ketua Polis negeri, Datuk Shafien Mamat berkata, berdasarkan rekod terkini, pihaknya mendapati golongan belia dikesan paling ramai ingkar SOP yang ditetapkan bagi mencegah penularan Covid-19
“Sementara itu, kita lihat golongan warga emas pula amat patuh kepada SOP. Ini mungkin kerana menyedari mereka merupakan golongan yang paling berisiko untuk dijangkiti Covid-19.
“Polis akan sentiasa menjalankan pemantauan dan kita harap orang ramai akan terus mematuhi SOP agar jumlah kes di negeri ini dapat dikurangkan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Shafien berkata, dalam tempoh tiga hari pertama ini, sebanyak 548 kenderaan yang cuba masuk ke Kelantan telah diarah berpatah balik kerana gagal mengemukakan alasan munasabah bersama dokumen berkaitan.
“Saya menasihatkan orang ramai agar tidak terus berbuat demikian tanpa dokumen yang sah, terutama mereka yang datang dari zon merah jka tidak mahu dikenakan kompaun,” katanya. -UTUSAN ONLINE