GEORGETOWN: “Minta maaf kepada semua pihak yang tersinggung kerana mendapati pembelian kereta ini, kalau pun perlu bukan tepat pada waktunya kerana semua masih terkesan pandemik Covid-19.”
Demikian jelas Ketua Menteri, Chow Kon Yeow yang meminta maaf kepada semua pihak dengan keputusan Kerajaan Negeri Pulau Pinang membeli kereta baharu bagi kegunaannya.
Malah beliau mengakui pembelian kereta jenis Mercedes S560e model tahun 2019 berharga kira-kira RM458,000 itu mungkin dibuat pada masa yang tidak tepat.
“Namun sebagai Ketua Menteri jika ada pihak tersinggung dan rasa ia tidak tepat pada waktunya, saya memikul tanggungjawab terakhir pada isu ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis sumbangan ikhlas beg penyayang One Hope Charity di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Kota di sini hari ini.
Khamis lalu, Kon Yeow menerima kereta rasmi baharu jenis Mercedes S560e model tahun 2019 bagi menggantikan kereta rasmi sedia ada iaitu Mercedes S300L yang dibeli pada 2013.
Pembelian kereta rasmi baharu itu dikecam ramai pihak memandangkan ia dilakukan ketika rakyat sedang bergelut dengan kelembapan ekonomi akibat pandemik Covid-19. – UTUSAN ONLINE